Tarikh hari ini

Final Exam is NEAR

Adakah anda sudah bersedia?

9 Oct 2014

ZIARAH MAKAM PARA AULIYA'

Bumi Mesir sememangnya terkenal dengan ramainya ulama dan wali yang tumbuh silih berganti sejak dahulu sehingga sekarang. Kita seharusnya bersyukur kerana berkat para ulama dan auliya yang berada di Mesir ini menjadi asbab bumi tempat kita  menimba ilmu ini terus aman dan subur keilmuannya. Menginjak tahun ketiga di Ardhul Kinanah ini, saya agak kecewa kerana tak banyak makam para ulama yang saya sudah lawati sedangkan  ilmu-ilmu mereka kita ambil dan nama-nama mereka kita angkat. Sebagaimana seseorang menziarahi rumah orang tetapi tidak berjumpa dengan tuan rumahnya, tidakkah agak biadap?

 Sehubungan dengan itu, kami mencari inisiatif untuk mengadakan program ziarah makam para ulama dan auliya di sekitar Kaherah. Alhamdulillah pada 27/9/14 bersamaan 3 Zulhijjah 1435 , program tersebut telah berjalan dengan lancar dengan penyertaan 11 orang ikhwah Genexiis , dua orang ustaz dan dua orang mahasiswa al Azhar dan Ain Sham. Disini kami ingin berkongsikan serba sedikit mengenai tempat-tempat yang telah dilawati pada hari tersebut disebabkan ada dalam kalangan ikhwah yang tidak dapat ikut serta.

Tempat yang pertama sekali disinggahi berdekatan dengan :

Bab Sya’riyyah
1    
      1)      Syeikh Ibnu Hisyam

  • Seorang yang pakar dalam ilmu nahu dan bahasa Arab.
  • Pengarang kitab Sirah Nabawiyyah.


 Kebiasaannya makam ini berkunci,hanya boleh dilihat diluar sahaja.




       2)      Syeikh Ali Khawwas


  • Seorang yang ummiy namun menjadi rujukan para alim ulama’.
  • Bersifat tawadhuk, kerja beliau membersihkan masjid dan tandas-tandas masjid.
  • Jika rakyat ketika itu ditimpa bala bencana, mereka akan pergi bertemu dengan  Syeikh Ali Khawwas memohon agar beliau berdoa supaya terangkat bala tersebut.
  • Guru kepada Imam Sya’roni.

                           
Berjalan kaki menuju ke masjid dimana terletaknya makam Syeikh Ali Khawwas.




       3)      Imam Ramli

Ø  Fuqaha dari mazhab Syafie.
Ø  Kitab yang terkenal Nihayah Al Muhtaj


Menunggu di perkarangan masjid Imam Ramli, ammu yang jaga tu tengah tidur agaknya.




        4)      Imam Sya’roni

Ø  Anak murid Syeikh Ali Khawwas
Ø  Seorang yang zuhud dan tinggi ilmunya


 Makam Imam Sya’roni , disebelahnya (tempat yang berasingan) terdapat makam anak muridnya.



Seterusnya kami bergerak menuju ke arah Sayeda Zainab untuk pergi ke Masjid Sultan Hanafi.



        5)      Syeikh Sultan Hanafi

Ø  Mendapat gelaran sultan bukannya sultan secara hakiki kerana kalam beliau labih didengari berbanding sultan sendiri.
Ø  Dalam masjid tersebut terdapat telaga zam-zam Mesir .


Kelihatan Ammar sedang khusyu’ membaca sejarah Sultan Hanafi.



Selepas itu kami ke destinasi yang berikutnya:


Sayeda Nafisah
          

          6)    Ibnu Sirin

Ø  Dikenali sebagai Mufassirul Ahlam (pentafsir mimpi)
Ø  Merupakan golongan tabi’en yang lahir ketika zaman Uthman ‘Affan.

*maaf terlupa nak ambil gambar makam beliau.



      7)     Saiyidah Nafisah Hasan al Anwar

             Ø  Beliau seorang yang sangat diberkati dan doa beliau mustajab.
             Ø  Guru yang paling disayangi oleh Imam Syafie.
             Ø   Makam beliau antara tempat mustajab berdoa, ustaz kata kalau nak pilih jodoh yang tepat insyaAllah boleh bertawasul dengan Saiyidah Nafisah.



Pelbagai lagi kisah yang diceritakan kepada kami antaranya kisah pernikahan Saiyidah Nafisah , karamah beliau yang sama seperti Saidatina Maryam ketika mana beribadah terdapat bakul yang ada makanan didalamnya. Kawan-kawan bolehlah merujuk sejarah-sejarah mengenai Saiyidah Nafisah




Makam Saiyidah Nafisah yang didalamnya turut berada senaskhah al Quran yang dibuka pada salah satu ayat daripada surah al An’am yang beliau baca ketika saat akhir nafas beliau.




Selepas menunaikan solat zohor di Masjid Sayeda Nafisah, kami bertolak ke Basatin :


        8)      Imam Syafie

Ø  Tempat ini pernah dilawat sebelum ni , jadi kami hanya menziarahi seketika makam beliau.
Ø  Sebelum ini kami tidak tahu apa beza antara makam dan dhorih (ضريح) , jadi ust. Syam menerangkan bahawa jika disesuatu makam itu ada tertulis ‘ haza maqam wa dhorih li sayyidi fulan..’ bermaksud dikubur tersebut sememangnya terdapat jasad si mati seperti dhorih Imam Syafie , dhorih Sayeda Nafisah dan lain-lain.
Ø  Manakala makam ,terdapat khilaf sama ada terdapat jasad ataupun tempat itu hanya menjadi tempat persinggahan orang yang meninggal dunia tersebut. Sebagai contoh makam Abu Zar al Ghifari yang terdapat berdekatan dengan Imam al Laith , dikatakan bahawa sejarah membuktikan yang Saidina Abu Zar tidak dimakamkan disitu. Wallahua’lam.
Ø  Berkenaan dengan tapak kaki yang didakwa tapak kaki nabi yang berada di makam Imam Syafie, sebelum ini tempat itu belum diletakkan kaca (kalau sahabat-sahabat masih ingat) tapi sekarang sudah berkaca tempat itu. Tapak kaki tersebut juga menjadi khilaf sama ada betul ataupun tidak. Menurut ust. Syam yang sebenar-benarnya bekas tapak kaki Rasulullah berada di dua tempat di Mesir. Satu berada di Masjid Syeikh Ahmad Badawi di Tanta dan satu lagi terdapat di Darasah (tak ingat secara spesifik).
Ø  Difahamkan bahawa tapak kaki dipindahkan ke Mesir semasa zaman Uthmaniyah, Mesir diberi kepercayaan untuk menyimpan khazanah-khazanah tersebut kerana di sini mereka sangat menjaga Ali Beit .
Ø  Satu lagi menarik mengenai makam Imam Syafie; satu ketika dahulu di Mesir terdapat seorang ulama bernama Syeikh Ahmad Dardir, beliau sering bermimpi bertemu dengan Rasulullah, jadi suatu hari gurunya meminta agar Syeikh Ahmad Dardir bertanyakan kepada Rasulullah bagaimana keadaan dirinya(guru syeikh Ahmad Dardir). Malam tersebut syeikh Ahmad Dardir bertanyakan kepada Rasulullah ketika dalam mimpinya, maka Rasulullah menjawab bahawa gurunya seorang yang hebat tetapi ada sesuatu perkara yang membuatkan aku berasa jauh dengan beliau.
Ø  Keesokan harinya, Syeikh Ahmad Dardir menceritakan perihal mimpinya semalam, gurunya dapat tahu apa yang dimaksudkan oleh Nabi. Lalu beliau berkata kepada Syeikh Ahmad Dardir supaya memberitahu kepada Nabi yang dirinya sudah tua dan tidak berkemampuan untuk menziarahi Baginda di Madinah. Pada malamnya, Syeikh Ahmad Dardir bermimpi bertemu Nabi dan memberitahu kepada Baginda akan perihal gurunya. Maka Baginda menjawab; jikalau begitu pergilah menziarahi makam Syafie pada setiap hari jumaat waktu selepas Asar sehingga Subuh kerana aku berada disitu. Wallahua’lam. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui mengenai perihal roh dan perkara tersebut tidak mustahil dengan izin-Nya.


Makam Imam Syafie ,imam mazhab kita .

                Terdapat binaan kapal diatas kubah makam Imam Syafie menjadikan ia salah satu kubah yang  unik.          

        9)      Imam Al Laith
Ø  Imam Syafie mengatakan bahawa Imam Al Laith lebih faqih berbanding Imam Malik akan tetapi mazhab beliau tidak berkembang disebabkan anak-anak murid beliau tidak menyebarkannya.
Ø  Adapun 4 mazhab yang diguna pakai sekarang berkembang kerana anak-anak murid mendalami mazhab tersebut dan menyebarkannya ke seluruh dunia.

Bertawasul di makam Imam Al Laith

      10)      Saidina Uqbah bin A’mir  dan  Saidina Amru bin al As
Ø  Diantara sahabat nabi yang dimakamkan di Mesir. Seramai lebih 500 orang lagi berada di perkuburan Bahnasa.

Dhorih para sahabat Nabi s.a.w.

     11)       Zun Nun al Misri , Muhammad al Hanafy dan Rabiatul Adawiyah
Ø  Terletak berdekatan dengan makam Uqbah bin ‘Amir tadi. 
Tempat ini berkunci , kami melihat dari luar sahaja.

Perjalanan diteruskan ke kaki bukit Muqattam :
     12)       Imam Abdullah bin Abi Jamrah
Ø  Pengarang kitab Bahjatun Nufus dan mendapat gelaran Faqihul Syarqiy wal Maghrib .
       Makam beliau di Muqattam.
    13)       Tempat khulwah Sayeda Nafisah
Ø  Kebanyakan wali mencari tempat-tempat di bukit untuk berkhulwah(bersunyian) dan beribadah.

     14)       Ibnu ‘Athoillah as Sakandari
Ø  Pengarang bagi kitab Al Hikam
Makam Ibnu ‘Athoillah yang terletak di sebuah masjid berdekatan dengan makam Abdullah bin Abi Jamrah.

Perjalanan kami berakhir di makam Ibnu ‘Athoillah , selepas sembahyang Asar kami pulang ke Sayeda Zainab membawa 1001 khibrah dan thaqafah. Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua.



 Jumpa lagi pada sesi kembara yang akan datang !! 


28 Sept 2014

KEUTAMAAN SEPULUH HARI AWAL ZULHIJJAH

BAB : KEUTAMAAN SEPULUH HARI AWAL ZULHIJJAH



Ibn Abbas r.a berkata : Nabi s.a.w bersabda : 
مَا مِنْ اَيَّامٍ العَمَلُ الصَالِحُ فِيهَا اَحَبُّ اِلَى اللهِ مِنْ هَذِهِ اللأَيَّامِ (اَيَّامِ العَشْرِ) قَالُوْا وَلاَ الجِهَادُ فِى سَبِيلِ اللهِ قَالَ : وَلاَ الجِهَادُ فِى سَبِيلِ اللهِ إِلاَّ رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْخِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَىءٍ. 
Tiada sesuatu hari yang mana orang beramal soleh di dalamnya, yang lebih disukai oleh ALLAH daripada hari-hari ini (yakni hari permulaan dzulhijjah dari tanggal 1-10) . Sahabat bertanya: “Walaupun jihad fisabilillah Ya Rasulullah?”. Jawab Rasulullah s.a.w: “Walaupun jihad fisabilillah kecuali jika seorang keluar dengan membawa semua hartanya dan tidak kembali sama sekali, (yakni habis hartanya dan mati syahid)” .
           Abul Laits meriwayatkan daripada ayahnya dari Muhammad Bin Ghalib dengan sanadnya dari Athaa’ dari Aisyah r.a berkata: Ada seorang pemuda penyanyi, tetapi bila melihat bulan Zulhijjah segera puasa pada pagi harinya, maka kejadian itu sampai kepada Rasulullah s.a.w. Baginda menyuruh orang memanggilnya, maka ketika datang ditanya : “Apakah yang menjadikan engkau melakukan amalan pada hari ini?”. Jawab pemuda tersebut : “Ya Rasulullah hari-hari ini hari ditegakkannya syiar-syiar dan manasik haji kerana itu semoga ALLAH mengumpulkanku dalam doa orang-orang yang sedang melakukan syiar-syiar agama dan ibadat dengan manasik haji itu”, maka sabda Rasulullah s.aw : “Maka untukmu dengan tiap hari berpuasa bersamaan dengan memerdekakan seratus budak, dan sedekah seratus unta dan seratus kuda yang engkau gunakan untuk jihad perang fisabilillah, dan bila hari Arafah maka untukmu di dalamnya sama dengan memerdekakan dua ribu budak dan bersedekah dua ribu  unta dan dua ribu kuda untuk jihad fisabilillah dan puasa hari Arafah untuk dua tahun, tahun sebelumnya dan tahun sesudahnya”. 

Di riwayat lain : Ra­­­sulullah s.a.w bersabda

“Puasa hari Arafah menyamai puasa dua tahun, dan puasa di hari Assyura’ menyamai puasa satu tahun”  .

Abu Darda’ r.a berkata :

عَلَيْكُمْ بِصَوْمِ اَيَّامِ العَشْرِ وَاكْثَارِ الدُّعَاء وَالاِسْتِغْفَارِ وَالصَّدَقَةِ فِيْهَا فَإنِّى سَمِعْتُ نَبِيَّكُمْ مُحَمَّدًا صَلَّى عَلَيْهِ وَسَلَّم يَقُولُ :الوَيْلُ لِمَنْ حُرِمَ خَيْرَ اَيَّامِ العَشْرِ عَلَيْكُمْ بِصَوْمِ التَّاسِعِ خَاصَّةً فَإِنَّ فِيهِ مِنَ الخَيْرَاتِ اَكْثَرَ مِنْ اَنْ يُحصِيهَا العَادُّونَ. 
Rajin-rajinlah berpuasa sepuluh permulaan bulan Zulhijjah dan memperbanyakkan doa dan beristighfar dan bersedekah, sebab saya mendengar Nabimu, Muhammad s.a.w bersabda : “Celaka orang yang tidak dapat bahagian dari kebaikan  dalam hari-hari sepuluh, jagalah, terutamanya berpuasa pada hari kesembilan, sebab mengandungi kebaikan(keuntungan) yang lebih banyak dari apa yang dikira oleh ahli hitung”.
Sesungguhnya Allah telah menghadiahkan kepada Nabi Musa Bin Imran a.s lima doa untuk dibaca pada hari-hari sepuluh yang dibawa oleh malaikat Jibril a.s ;

1.       لاَ اِلهَ إَلاَّ اللهُ وَهْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ لَهُ المُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ يُحْىِ وَيُمِيْتُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيْرٌ

Tiada tuhan kecuali ALLAH yang tunggal dan tidak bersekutu, semua milik atau kerajaan dan pujian adalah hak-Nya dan dia hidup tidak mati, di tangan-Nya segala kebaikan, dan Dia atas segala sesuatu yang Maha Kuasa.

2.       اَشْهَدُ اَنْ لاَ اِلَهَ اللهُ وَهْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ اِلَهًا وَاحِدًا اَحَدًا صَمَدًا لَمْ يَتَّخِذْ صَاحِبَةً وَلاَ وَلَدًا

Saya bersaksi bahawa tiada Tuhan kecuali ALLAh yang Esa dan tidak bersekutu, Tuhan yang tunggal, yang diperlukan, yang tidak berkawan atau beranak.

3.       اَشْهَدُ اَنْ لاَ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَهْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ اَحَدٌ صَمَدٌ لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا اَحَدُ

Saya bersaksi bahawa tiada Tuhan kecuali ALLAH yang Esa, satu dan sangat diperlukan, tidak beranak dan tidak dilahirkan, dan tidak ada bandingannya sesuatu apapun.

4.       اَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ المُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ يُحْيِ وَيُمِيتُ وَهُوَ حَىٌّ لاَ يَمُوت ُ بِيَدِهِ الخَيْرُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىءٍ قَدِيرٌ

Saya bersaksi bahawa tiada Tuhan kecuali ALLAh yang Esa dan tidak bersekutu, baginya kerajaan dan pujian menghidupkan dan mematikan, dan Dia hidup tidak mati, di tangan-Nya semua kebaikan, dan Dia atas segala sesuatu yang Maha Kuasa.

5.       حَسْبِىَ اللهُ وَكَفىَ سَمِعَ اللهُ لِمَنْ دَعَا لَيْسَ وَرَاءَ اللهِ مُنْتَهَى

Allah yang menjamin aku dan cukup, ALLAH telah mendengar tiap-tiap orang yang berdoa. Tidak ada selain ALLAH tempat meminta dan berhajat.

Abu An-Nadher Hashim Bin Al-Qasim berkata : Ada orang berkata kepadaku bahawa ia membaca kalimat-kalimat ini pada hari-hari sepuluh, kemudian ia bermimpi seolah-olah di dalam rumahnya ada lima susun(tumpukan) dari cahaya, setengahnya di atas setengahnya.

Mujahid dari Ibn Umar r.a berkata : Nabi s.a.w bersabda :
“Tiada hari yang lebih besar di sisi ALLAH dan lebih disukai untuk orang beramal di dalamnya melebihi dari hari sepuluh (1-10 Zulhijjah), kerana itu perbanyakkan olehmu bertakbir, tahmid dan tahlil (Allahu Akbar, Alhamdulilllah, Laa Illahailallah)”


 Wallahualam.

Sumber : كتاب تنبيه الغافلين


19 Aug 2014

Tahniah : Majlis Tertinggi GENEXIIS 2014/2015



WARKAH MANTAN KETUA BATCH GENEXIIS 2013/2014 :

Assalamualaikum w.b.t.

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam,selawat dan salam keatas junjungan besar nabi Muhammad s.a.w.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah,

Aku masih teringat ketika mula-mula kita sampai di bumi Mesir.Masa tu dekat rumah anak negeri Kelantan.Kita kan Ahlan sekali dengan mahasiswa Ain Shams,waktu akhir program tu kita dibahagikan mengikut universiti masing-masing,Ain Sham sesama mereka,Cairo sesama kita.Rupa-rupanya nak lantik seorang Ketua Batch dan seorang Timbalan KB.Nak dipendekkan cerita, abe Wan Nus telah tercalon dan mendapat undian tertinggi lantas selayaknya menjadi Ketua Batch kita untuk tahun tersebut.Detik berlalu meninggalkan memori itu.

Memang menjadi kebiasaan batch-batch senior untuk bertukar kepimpinan apabila bergantinya tahun,jadi batch kita pun tak terlepas daripada fenomena tersebut.Tahu-tahu jelah siapa yang jadi KB lepas Wan Nus.Pernah sekali aku terbaca satu fakta;orang yang tinggi kebiasaanya orang akan 
lantik menjadi ketua.Aku tak pasti sama ada aku salah seorang yang menjadi mangsa fakta tersebut atau macam mana.Yang pasti nak tak nak aku kena hadapi 'masalah' ini bukan lari daripadanya.Sengaja aku ingin kongsikan sebuah cerita supaya antum (baca:korang)tidak bosan membaca warkah aku ni.Sebuah kisah yang pernah diceritakan oleh senior yang sudah 'graduate'.

Bermula kisah dengan seorang pemuda dari sebuah kampung datang ke Madinah ketika pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab.Pemuda tersebut menambat kuda tunggangannya berhampiran dengan kawasan pertanian milik seseorang.Tanpa disangka kuda tersebut merosakkan tanaman yang ditanam.Pemilik kebun berang lalu menghambat kuda tersebut sehingga mati.Pemuda si pemilik kuda tadi berasa marah lalu memukul lelaki tua yang menyebabkan kudanya mati.Akibat rasa bersalah
yang teramat sangat,pemuda tadi pergi menghadap Khalifah untuk diadili.Boleh dianggap juga seperti membawa batang leher untuk dipancung.

Setelah diputuskan hukuman,pemuda tadi meminta izin untuk kembali ke kampung halaman untuk melunaskan hutang-hutangnya.Disebabkan kampung halaman pemuda itu terletak jauh dari Madinah, Khalifah meminta seorang penjamin untuk menjamin pemuda tadi. Pemuda itu melihat sekeliling orang ramai yang menyaksikan penghakiman pada hari itu.Namun tiada siapa yang berani menjamin pemuda tersebut.Dia tertunduk lesu,berasa hampa kerana dia tiada seorang pun yang dikenali di madinah.Suasana hening seketika.Lalu seorang pemuda yang hampir sebaya dengannya iaitu Abu Dzar al-Ghifari mengangkat tangan dan bersetuju menjadi penjamin.Abu Dzar menandatangani perjanjian.

Masa diberikan kepada pemuda itu selama tujuh hari untuk ke kampung halaman dan kembali semula ke Madinah.Hari berganti hari sehingga genap tujuh hari tempoh masa diberi namun pemuda tadi tidak kunjung tiba ke muka pengadilan.Masing-masing yang hadir pada hari tu mula panik dan kecewa mengenangkan nasib 
Abu Dzar yang akan dihukum bukan kerana kesalahan yang beliau lakukan.Tiba-tiba terdengar suara dari kejauhan,masing-masing melihat ke satu arah yang sama.Kelihatan pemuda yang bersalah tadi berjalan kearah tempat mereka berkumpul dalam keadaan keletihan.Abu Dzar dibebaskan kerana si pesalah telah hadir seraya Qadhi bertanya kepada pemuda tadi;"Kenapa kamu tidak memilih untuk kabur saja dan melarikan diri dari jeratan hukuman tambahan pula sudah ada orang yang menjamin kamu?"

Maka terungkaplah kata-kata yang masyhur,pemuda tadi menjawab," Benar aku boleh melarikan diri tetapi aku tidak mahu dalam sejarah ummat ini ada orang yang memungkiri janji untuk kepentingan dirinya dan tidak mahu menjadi muslim yang bertanggungjawab." Ahli keluarga korban yang mendengar kata-kata pemuda tadi merasakan kejujuran dan ketulusan si pesalah.Lantas waris kepada mangsa memaafkan pemuda tadi.Qadhi bertanya,"Kenapa kamu memaafkan pemuda ini sedangkan dia telah membunuh saudara kamu".Mereka lalu menjawab,"Sesungguhnya kami malu sekiranya terdapat dalam sejarah ummat ini muslim yang tidak mahu memaafkan kesalahan saudaranya sesama muslim." 

Setelah itu Qadhi bertanya pula kepada Abu dzar kenapa beliau sanggup menjamin seseorang yang beliau tidak kenal sama sekali.Abu Dzar menjawab,"Aku tidak mahu dalam sejarah ummat ini terdapat orang tidak mahu membantu meringankan beban saudaranya".Berlinanganlah air mata keharuan penduduk Madinah yang hadir pada hari itu.

Oleh yang demikian, sekiranya ada sesiapa yang bertanya kepada aku,"Kenapa kau sanggup terima jawatan KB ni?".Maka aku boleh menjawab,"Aku malu sekiranya aku menolak maka akan ada dalam kalangan generasi selepas aku yang juga akan menolak amanah yang telah diberikan".

Setahun bersama barisan kepimpinan Genexiis,banyak perkara yang kami pelajari.Sejujurnya kami sendiri tidak boleh menilai sejauh mana perubahan dan penambahbaikan yang telah dilakukan.Justeru jika kalian mendapati sebarang cacat cela sepanjang pengurusan kami, maka utarakanlah cadangan penambaikan pada sesi kepimpinan yang akan datang dan kami percaya mereka boleh melakukan lebih baik daripada kami.

Bukanlah sesuatu kepimpinan itu dianggap terbaik apabila sewaktu zamannya ianya diagung-agungkan tetapi setelah berlalu zaman mereka dan berganti kepimpinan yang baru terus hilang keizzahan tersebut.Hakikat kepimpinan yang terbaik adalah apabila mereka dapat melahirkan generasi kepimpinan yang lebih baik untuk menggantikan tempat mereka.Dikesempatan ini, aku dengan rendah hati ingin memohon maaf atas kekurangan dan kekhilafan yang sengaja ataupun tidak sepanjang taklifan sebagai Ketua Batch Genexiis bagi sesi 2013/2014.Jutaan ucapan terima kasih kepada barisan Majlis Tertinggi dan Ahli Jawatankuasa yang banyak membantu.Jazakumullahu khairan kathira.

Yang Benar,
Mohd Zulkhairi bin Sahlani
(KB Genexiis 2013/2014)
  


9 Jul 2014

Al-Ghazali : Satu Penelitian


Rasulullah bersabda dalam sebuah hadis, 
إن الله يبعث لهذه الأمة على رأس كل مائة سنة من يجدد لها دينها
“Sesungguhnya Allah mengutuskan untuk umat ini (umat Islam) pada setiap seratus tahun, seorang insan yang akan memperbaharui urusan agama mereka.”
Apa yang dimaksudkan ‘memperbaharui agama’ di sini ialah insan yang akan mengembalikan semula ajaran agamanya lantaran terdapat banyak salah faham dan kekeliruan yang timbul pada setiap generasi selepas kematian Baginda Nabi Muhammad s.a.w.

Jika kita amati dan beramal dengan hadis ini, maka kita akan menyedari akan peri pentingnya pemahaman ajaran Islam yang kita anuti selama ini. ‘Islam warisan’ yang membuatkan kita malas untuk mendalami ilmu agama ini secara tidak sedar (unconsciousness) membuatkan kita semakin hari semakin jauh daripada Islam.
Maka, kita akan cuba sedaya upaya untuk mengenali siapakah tokoh pentajdid Islam ini yang cuba untuk menginfakkan diri, masa, harta dan tenaga mereka untuk melihat tertegaknya kembali ajaran Islam yang sebenar dalam kepincangan masyarakat dan membangunkan semula pemikiran Islam itu sendiri.

Kemudian timbul persoalan pula, adakah kita perlu menjadi salah seorang daripadanya? Atau kita langsung menangguk di air yang keruh, lantas tidak menghiraukan apa yang terjadi kepada masyarakat dan umat Islam di seantero dunia dan tidak langsung terlintas di hati kita untuk mengesat air mata ummah disebabkan kita sudah dilahirkan dengan seribu macam nikmat dan kemewahan yang melimpah ruah?


Imam Al-Ghazāli, nama yang tidak asing daripada telinga kita bukan sekadar seorang tokoh yang kita hanya mampu memetik kalimahnya sahaja. Beliau merupakan salah seorang tokoh pentajdid agama selepas beberapa tokoh yang lain seperti Imam As-Syāfie dan juga Khālifah ‘Umar ‘Abd Al-Azīz.

Maulānā Abu Hasan Ali an-Nadwi, seorang tokoh dari India telah mengarang sebuah kitab yang berjudul ماذا خسر العالم بانحطاط المسلمين؟ (Apakah kerugian yang alam hadapi dengan kejatuhan Islam?). Kitab ini memberikan pengaruh yang kuat kepada ilmuan-ilmuan dunia hari ini seperti Syeikh Wahbah az-Zuhaili dan juga Dr Rāghib as-Sirjāni dalam membangunkan ummah serta menghargai khazanah-khazanah Islam yang cukup kaya dengan nilai-nilai keilmuan dan ketamadunan.

Karya luar biasa

Berbalik kepada perbincangan tokoh asal, Imam al-Ghazāli yang dilahirkan di Tus pada 450H dan meninggal pada usia yang cukup muda iaitu pada 505H ketika beliau berusia 55 tahun mampu mengubah dunia pada hari ini lantaran karya-karyanya yang luar biasa. Jika kita baca naskhah Bidāyah al-Hidāyah, kita akan mendapati suatu perkara yang kita tidak dapat daripada karya-karya lain.

Misalannya beliau menyebut dalam pendahuluan kitab tersebut,

“Maka ketahuilah wahai orang yang bersungguh-sungguh ingin mengambil faedah daripada ilmu, yang sangat jitu semangatnya, yang terlampau dahagakan ilmu, sesungguhnya jika kamu menuntut ilmu untuk berlumba-lumba dan berasa terkehadapan daripada rakan-rakan kamu yang lain, dan ingin mencari perhatian orang lain ke atas kamu, dan ingin mengumpulkan kemewahan dunia, maka kamu sedang berusaha untuk menghancurkan agama kamu, dan membinasakan diri kamu, dan menjual akhiratmu dengan duniamu, maka perniagaan kamu merugikan kamu.”

Berapa ramai dalam kalangan kita pada hari ini berasa risau sekiranya tidak memperoleh karier suatu masa kelak, gusar gaji tidak selumayan mana, ingin namanya disebut-sebut hebat, berasa ta’jub dengan diri sendiri kerana lebih tahu dan banyak pengalaman daripada insan lain seterusnya merendah-rendahkan mereka serta mempunyai penyakit-penyakit hati yang lain?

Lebih merisaukan lagi, kebanyakan generasi pada hari ini terperangkap dalam sistem pendidikan yang ada sehinggakan gagal memahami makna pendidikan yang sebenar. Epistemologi ilmu yang cukup luas itu dikecilkan skopnya hanya pada silibus-silibus peperiksaan dan ujian.

Magnum opus Imam al-Ghazāli, Ihya’ Ulūm ad-Dīn dibaca pada setiap tahun di negara Yaman. Dalam kitab ini, ketokohan beliau jelas dalam mengharmonikan antara fiqh (amal ibadah) dan tasawwuf (penyucian hati). Dr Yusuf Al-Qaradhawi menyebut bahawa beliau cuba mentasawwufkan fiqh dan memfiqhkan tasawwuf. Beliau melihat ibadah harian bukan sekadar perintah Tuhan semata-mata, malahan beliau melihat apa hikmah yang terkandung di sebalik itu. Hal ini sama seperti hadis yang disebut oleh Imam an-Nawawi dalam kita Al-Azkār,

“Maha suci Allah yang menjadikan air ini bersih, dan katakanlah ketika berkumur-kumur (mengambil wudhu’) : Ya Allah berilah minum padaku daripada tasik Nabi Kamu, gelas yang tidak akan membuatkan aku berasa haus lagi selepas ini, dan sebutkanlah ketika kamu bernafas : Ya Allah, janganlah Kau haramkanku daripada bau yang harum, dan katakanlah ketika kamu membasuh muka : Ya Allah, putihkanlah wajahku pada hari yang Engkau putih dan gelapkan wajah (berdasarkan ayat 106 surah Āli-Imrān), dan katakanlah ketika kamu membasuh kedua-dua belah tanganmu : Ya Allah, Kau berikanlah kitab catatan amalanku pada tangan kananku dan janganlah Kau beri pada tangan kiriku, dan katakanlah ketika kamu membersihkan kepala : Ya Allah, haramkanlah rambutku dan seluruh badanku daripada api neraka dan payungilah diriku di bawah ‘ArasyMu pada hari tiada tempat perlindungan melainkan perlindunganMu, dan katakanlah ketika kamu membasuh kedua-dua telinga : Ya Allah, jadikanlah aku dalam kalangan orang yang mendengar perkataan dan mengikut apa yang baik daripadanya, dan katakanlah ketika kamu membersihkan kedua-dua kakimu : Ya Allah, teguhkanlah kakiku di atas titian SirātMu.”

Hari ini, sudah ramai ilmuan-ilmuan Islam yang cuba mendamaikan kedua-dua aspek penting agama ini (fiqh dan tasawwuf), lantaran peri pentingnya jalinan ini supaya amal ibadah harian kita tidak dilihat sebagai rutin dan ritual semata-mata. Satu kerugian yang maha besar sekiranya kita gagal menyingkap hikmah di sebalik titah perintah Allah.

Analogi yang diungkapkan Imam al-Ghazāli dalam kitab جواهر القرأن (Mutiara-mutiara al-Quran) bahawa umat Islam yang sibuk membaca al-Quran dengan memfokuskan dalam menguasai tajwīd ((مخرج, khatam berulang-ulang kali, teknik-teknik bacaan ((القرأة, bahasa dan tatabahasa ((الإعراب, mengalami kerugian yang besar dalam memperolehi hasil daripada al-Quran kerana golongan ini hanya memperoleh cangkerang kerang sahaja berbanding isi kerang itu sendiri.

Isi kerang itu hanya mampu diperoleh sekiranya kita memahami makna teks-teks al-Quran itu sendiri dan menghadamnya bahawa di dalam bait-bait kalam Allah itu terkandung kisah-kisah sejarah, syariat Allah dan hujah Allah terhadap orang kafir (ilmu kalām/tauhid/metafizik) seterusnya al-Quran yang kita baca setiap hari itu mampu membawa kita mengenal Allah dan hari Akhirat serta mengetahui jalan-jalan untuk menujunya.




Pernah sekali, Imam al-Ghazāli diminta oleh seorang anak muridnya yang begitu rapat dengan beliau supaya menuliskan satu kitab yang terkandung pesanan dan wasiatnya kepada anak murid tersebut. Maka, beliaupun menuliskan pesanan-pesanan tersebut dalam sebuah naskhah yang berjudul أيها الولد. Di dalamnya terkandung nasihat-nasihat yang padat dan amat bermakna bagi seorang penuntut ilmu dan istimewanya naskhah ini, beliau seolah-olah cuba berkata-kata dan memberi cebisan nasihat terus kepada kita.

Misalannya beliau menyebut,
“ Wahai anakku, berapa banyak daripada malammu yang kamu hidupkan untuk mengulang-ulang ilmu dan membaca buku dan mengharamkan diri kamu daripada tidur? Tidaklah pula aku tahu sekiranya bangunnya kamu pada malam itu untuk mencari ganjaran dan kelebihan dunia serta bermegah-megah daripada rakan-rakanmu. Maka, celakalah kamu, kemudian celakalah kamu. Dan sekiranya niat kamu untuk menghidupkan kembali syariat Nabi dan berakhlak dengan akhlak Baginda serta menghancurkan nafsu ammārah yang membawa kepada kejahatan, maka beruntunglah kamu.”

Perjalanan ilmu

Perkara inilah yang ingin dibawakan oleh beliau dalam mengembalikan semula salah faham umat Islam pada generasi tersebut dan terbukti ianya relevan pada masa kini apabila karya-karyanya dibaca pada setiap tahun. Jika kita soroti pengalaman hidup beliau sendiri, pada mulanya beliau mendalami ilmu-ilmu asas agama, kemudian serangan falsafah yang hebat pada zaman tersebut dengan munculnya Socrates, Plato dan Aristotle membuatkan beliau ingin mengkaji mengenai falsafah. Dua tahun masa yang diambil untuk mengkaji karya-karya Aristotle sehinggakan beliau menjadi guru besar yang hebat di bawah pemerintahan Nizhom Al-Muluk di Baghdad pada ketika itu. Diceritakan bahawa ulama’-ulama’ yang hebat pada ketika itu juga turut menuntut ilmu dengannya lantaran kehebatan ilmu beliau dalam aqidah, fiqh, falsafah dan juga mantik. Uniknya beliau, setiap bidang yang beliau kaji dan ceburi, beliau akan menjadi guru besar (master) dalam bidang tersebut.

Maka, pada waktu awal usia beliau inilah beliau mula mengarang kitab-kitab falsafah seperti Maqāsid al-Falāsifah (Tujuan-tujuan Falsafah) dan Tahāfut al-Falasifāh (Hujah Menolak Falsafah) diikuti kitab-kitab tauhid dan mantik yang lain seperti al-Maqsad al-Asna fi Syarhi Ma’ani Asma Allah al-Husna, Mi’yār al-Ilm, al-Iqtisād fi al-I’tiqād, Iljam al-‘Awwām ala Ilm al-Kalam dan puluhan kitab yang lain.

Musafir ilmu beliau tidak diwarnai indah begitu sahaja. Beberapa peristiwa yang menjadi titik tolak perubahan pada dirinya menjadi satu turning point kepada beliau untuk menjadi seorang yang hebat. Dengan kematian bapanya pada usia muda, seterusnya peristiwa suatu hari yang mana kitab-kitab beliau beserta nota kaki yang ditulis oleh beliau (التعليقات) dirompak yang mana membuatkan beliau pada ketika itu terus menghafal kembali segala nota kaki tersebut sehinggalah sampai pada suatu hari ketika beliau mengajar di dalam kelas, beliau gagal mengungkapkan kata-katanya. Lidah beliau menjadi kelu.

Sejurus selepas itu, timbul konflik dalam dirinya. Pada usia 30 tahun itu, beliau mula mencari makna dalam menuntut ilmu sehinggalah beliau menemui jalan tasawwuf (penyucian hati) sebagai jalan yang terbaik untuk menemui jalan menuju Allah. Hal ini kerana, ilmu tasawwuf menggabungkan antara ilmu dan amal dan beliau pernah menyebut,
طلبت العلم لغير الله فأبى أن يكون لله 
“Pada mulanya aku menuntut ilmu bukan kerana Allah, tetapi akhirnya aku dipalingkan untuk menuntut ilmu kerana Allah.”

Bermula daripada peristiwa itu, beliau mula beruzlah dan menuju ke masjid Umawi di Damsyik, Syria. Beliau meninggalkan segala macam perkara yang beliau lakukan sebelum itu dan mula fokus dalam menyucikan hati. Beliau rela menjadi pembersih masjid (janitor) dalam menundukkan nafsu dan riya’ dalam hatinya.

Pada suatu hari, ketika seorang guru dalam masjid itu sedang mengajar dan terdapat satu permasalahan agama yang tidak dapat diselesaikan, maka usai kelas tersebut, beliau menyatakan jawapan kepada permasalah tersebut kepada orang yang bertanya. Sebaik sahaja mendengar namanya dipuji, lantas beliau meninggalkan pemuda tersebut kerana khuatir timbulnya riya’ dalam jantung hatinya.

Selepas daripada itu iaitu ketika usianya 38 tahun, beliau mula menulis karya-karya tasawwuf seperti Bidāyah al-Hidāyah, Kimya’ as-Sa’ādah dan karya terakhir beliau iaitu Minhāj al-‘Abidīn. Kitab al-Munqiz Min ad-Dholāl juga muncul pada ketika ini yang merupakan karya penting dalam menceritkan selok belok kehidupan beliau sehinggalah menemui jalan tasawwuf.

Sepuluh tahun selepas itu, beliau kembali semula ke tanah airnya dan mula menulis Ihya’ Ulūm ad-Dīn dan mengajar tasawwuf kepada masyarakat setempat. Beliau juga mula mendalami ilmu usul fiqh dengan guru besar usul pada ketika itu iaitu Imam al-Juwaini. Kehebatan ilmu usul beliau menandingi gurunya sehinggakan gurunya menyebut bahawa Imam al-Ghazāli telah menanamnya sebelum beliau meninggal dunia (lantaran kehebatan ilmu usul al-Ghazāli menandingi gurunya, al-Juwaini.

Beliau sempat menulis sebuah kitab usul fiqh pada ketika itu sehingga terhasilnya kitab al-Mustasfa yang menjadi rujukan sehingga ke hari ini. Syeikh Hamza Yusuf, tokoh ilmuan di Amerika Syarikat pernah sekali bertanyakan kepada guru rapat beliau iaitu Syeikh Ben Bayyah, (tokoh ilmuan daripada Mauritania, bekas Naib Presiden Kesatuan Ulama Sedunia di bawah pimpinan Dr Yusuf Al-Qardhawi), sekiranya Syeikh Ben Bayyah dicampakkan ke sebuah pulau, kitab apakah yang ingin berada di tangan beliau selain al-Quran? Dan beliau menjawab kitab usul fiqh al-Ghazāli, al-Mustasfa.

Jika kita soroti kembara ilmu beliau :
1. Tūs, Iran (tanah kelahiran)
2. Jurjan, Iran (mendalami fiqh)
3. Naysabūr (usul fiqh, mantik, falsafah)
4. Al-Ma’askar, Baghdad (mengajar)
5. Hebron, Baitul Maqdis
6. Mekah, Madinah
7. Damsyīq, Syria (tasawwuf)
8. Tūs, Iran (hadis)


Kritikan dan hujah balas

Sebagai insan biasa, beliau juga tidak terlepas daripada beberapa kelemahan melakukan kesilapan. Selepas kewafatan beliau, karya-karya beliau dibaca, dikaji dan didapati terdapat beberapa kelemahan. Ianya dikritik oleh Abu Bakar at-Turtūsyi, Syeikh Ibn Solāh, Ibn al-Jauzi dan Ibn Taymiyyah lantaran kelemahan beliau dalam bidang hadis, melihat tasawwuf daripada kaca mata falsafah, mantik dan gagal mengaitkan fiqh yang sebenar dalam tasawwuf.

Hadis-hadis yang dimasukkan dalam Ihya’ Ulūm ad-Dīn mendapat kritikan ramai kerana di dalamnya terkandung hadis dhoīf dan juga maudhu’. Sebahagian ulama’ menjawab semula perkara ini bahawa pada akhir hayat beliau, beliau mula untuk mempelajari hadis daripada Sahīh Bukhāri dengan al-Hāfiz ‘Umar ar-Ru’āsi

Antara kritikan yang lain pula adalah kritikan ketika perang Salib berlaku pada ketika itu yang mana beliau tidak menyertainya. Perkara ini dijawab semula oleh Syeikh Sa’id Ramadhan al-Būti rahimahullah bahawa bukan beliau sahaja yang tidak menyertai perang tersebut, malahan ramai lagi tokoh ilmuan lain pada ketika itu memilih untuk tidak menyertai perang tersebut dan memfokuskan kepada ilmu seperti Imam al-Juwaini, al-‘Izz Abd as-Salām, Abu Bakar at-Turtūsyi dan Abu Bakar al-Arabi. Jika beliau dikritik dalam hal ini, mengapa imam-imam yang lain tidak mendapat pengadilan yang sama?

Dr al-Qaradhawi pula dalam al-Imām al-Ghazāli baina Mādihīh wa Nāqidīh menyebut bahawa al-Ghazāli melihat bahawa solusi perang tersebut bukanlah pada menyertainya, malahan dengan jalan ilmu tasawwuf. Kebobrokan dalam memahami ilmu inilah yang menimbulkan peperangan tersebut. Maka, masyarakat harus diperbaiki bermula daripada dalam ke luar (in to out). Kerosakan yang di dalam menzahirkan kerosakan di luar sehingga mewujudkan peperangan.

Kesimpulan

Khazanah Islam yang kita miliki cukup kaya dengan ketamadunan dan nilai keilmuan tetapi sayang seribu kali sayang, umat Islam pada hari ini begitu leka menikmati kelazatan dan kemewahan dunia yang ‘sedikit’ dan malas untuk bangkit semula menegakkan syariat Allah. Kita begitu alpa dalam menyelongkar khazanah-khazanah ini sehingga kita tidak menyedari betapa signifikannya kita mengembalikan ketamadunan ini. Lebih teruk lagi, kita hanya mampu melopong sahaja melihat kemajuan Barat, kemudian kita terus melakukan kelalaian dalam rutin harian kita yang langsung tidak memberi manfaat kepada diri, bangsa dan agama sedangkan kita baca kalam Allah,

قد أفلح المؤمنون
“Maka telah berjaya orang-orang mukmin.”

الذين هم في صلاتهم خاشعون
“Iaitu orang yang khusyu’ dalam bersolat.”

والذين هم عن اللغو معرضون
“Dan juga berpaling daripada melakukan perkara-perkara sia-sia (lagho).”
Tidakkan sampai masanya untuk hati kita khusyu’ kembali mengingati Allah?
Semoga Allah mengampuni dosa-dosa dan kesilapanku serta umat Islam seluruhnya.

Nukilan : Muta’allim, Kaherah,
12:15pm, 050714.

*Artikel ini tidak lebih daripada kesimpulan ringkas penulis terhadap Imam al-Ghazali.

Rujukan :

Buku
-Al-Quran
-Bidāyah al-Hidāyah, al-Ghazāli
-Ayyuha al-Walad, al-Ghazāli
-Mutiara al-Quran Imam al-Ghazāli, Muhammad Abul Quasem
-Al-Imām al-Ghazali Baina Mādihīh wa Nāqidīh, Dr al-Qaradhāwi
-Al-Azkār, Imam an-Nawawi

PDF/ Majalah
-Pujian dan Kritikan Terhadap Imam al-Ghazāli, ‘Abdul Salam Hj Yussof
-Iktibar daripada kesohoran al-Ghazāli, Ulama’ Penggerak Penguasaan Ilmu, Zakaria Stapa

Artikel
-Akhirnya kutemui al-Ghazzāli, Hasrizal ‘Abdul Jamil
-Al-Ghazzāli Sasaran Liberalisasi Agama, Hasrizal ‘Abdul Jamil
-Hukum Mengkritik Tulisan al-Imam al-Ghazāli?, Dr Mohd ‘Asri Zainul Abidin

Youtube
-Imam al-Ghazāli’s Life And A Response To His Critics, Syeikh Sa’id Ramadhan al-Būti
-The Critical Importance of al-Ghazāli In Our Times, Syeikh Hamza Yusuf
-The Alchemy of Happiness,Syeikh  Hamza Yusuf
- Imam Abu Hamid al- Ghazāli, Syeikh ‘Ali Jumuah

Audio
-Keperluan Tajdid Pemikiran Agama, Dr Mohd ‘Asri Zainul Abidin