Tarikh hari ini

Final Exam is NEAR

Adakah anda sudah bersedia?

30 Sept 2016

Amalina Rahim: Mengulang Bukan Penghalang

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum.

          Bagi sesi kali ini, saya bawakan kepada anda, saudari Amalina Rahim, pelajar yang mendapat pangkat Jayyid jiddan dalam peperiksaan akhir tahun 4 perubatan Universiti Kaherah. Sesi temuduga ini dijalankan adalah untuk menyatakan bahawa pelajar mengulang juga boleh menempa kejayaan. Selamat membaca.

AMALINA RAHIM

Nama: Nur Amalina Binti Abdul Rahim
Nama ibu: Mashitah Binti Asri
Nama bapa: Abdul Rahim Bin Ahmad
Nama panggilan: Amalina
Bilangan adik beradik: 3 daripada 5
Tinggal di: Selangor
Moto hidup: Sabar dan yakin

A) Keputusan peperiksaan akhir (sehingga kini):
·         Tahun 1: Jayyid
·         Tahun 2: Maqbul
·         Tahun 3: Jayyid Jiddan
·         Tahun 4: Jayyid Jiddan


B) Mula mengulang pada tahun bila:
Saya mula mengulang pada tahun 2


C) Alasan mengulang tahun tersebut:

Antara punca kegagalan yang dapat saya kongsikan buat peringatan semua:

      1)     Terlalu selesa dengan pencapaian semasa.
Keputusan peperiksaan tahun 1 yang agak baik membuatkan saya rasa cukup dengan cara belajar yang sama, sedangkan untuk tahun 2, cabarannya berganda. Mentaliti ‘asalkan lulus’ akhirnya memakan diri.

       2)      Tiada matlamat yang jelas.
Visi dan misi dalam hidup yang memandu cara hidup dan tindakan kita. Kesilapan saya sejak hari pertama sebagai pelajar, saya tidak meletakkan sebarang matlamat jangka pendek atau jangka panjang, yang membawa kepada usaha yang tidak berfokus.

      3)      Tiada disiplin cara belajar.
Saya gagal mengenal pasti cara belajar yang sesuai dengan saya. Lebih memburukkan lagi keadaan adalah sikap tidak berdisiplin dalam waktu belajar dan tidak mahu mencabar kemampuan diri.



D) Perasaan saudari mendapat “ top 4 ” dalam kalangan pelajar Malaysia :

Segala puji dan syukur ke hadrat Ilahi atas kurniaan nikmatNya yang tidak pernah putus, antaranya diberi peningkatan dalam pencapaian akademik tahun ini. Saya tidak pernah menyasarkan apa-apa kedudukan dalam ranking, maka tidak dinafikan, saya agak terkejut apabila disebut tentang top 4. Walau bagaimanapun, saya tidak mahu terbuai dengan pencapaian semasa memandangkan saya belum mencapai matlamat peribadi saya. Tambahan pula, pencapaian akademik kita (pelajar Malaysia) masih jauh ketinggalan di belakang rakan-rakan pelajar tempatan.
Apa yang lebih menggembirakan saya sebenarnya, adalah melihat sahabat lain turut sama berjaya dan melangkah ke tahun 5, terutamanya sahabat-sahabat yang pernah menempuh perjalanan yang sama; Nadhirah, Iqmal, Rafiudin dan Izzat.


E) ”Tahun 4 tahun honeymoon”, perspektif saudari mengenai kenyataan ini:

Jadual tahun 4 yang tidak padat berbanding tahun-tahun sebelumnya, memang memberi banyak masa terluang kepada pelajar. Namun, saya langsung tidak melihatnya sebagai peluang untuk berehat atau honeymoon. Faktor utama yang membuat saya tidak terus leka adalah nasihat-nasihat dari sahabat-sahabat GEN11US yang saya ambil sebagai cabaran, antaranya: “Tahun 4 adalah peluang terbaik untuk kumpul mumtaz” dan “ Untuk tahun 4, sekurang-kurangnya wajib mumtaz ComMed”.
Hakikatnya, semakin kita meniti hari, semakin besar cabaran yang mendatang, terutamanya dalam dunia perubatan. Langkah harus dipacu ke hadapan, bukan mundur mahupun statik. Ruang masa lapang yang diberi harus diisi sebaiknya untuk memperbaiki diri dalam pelbagai aspek termasuk akademik dan sahsiah.


F) Apakah FAKTOR UTAMA kejayaan saudari? Adakah disebabkan  saudari seorang                                                    pelajar mengulang? :
Mungkin ya. Saya pernah berada dalam situasi yang paling menakutkan sebagai seorang pelajar tajaan; satu paper yang merupakan peluang terakhir untuk menentukan masa depan, dan saya kira perkara ini merupakan antara motivasi kepada saya agar tidak mengulangi kesilapan yang sama.


G) Adakah faktor spiritual membantu saudari? Nyatakan sokongan dan peranan ibu bapa serta rakan:

Sangat membantu. No doubt! Dalam kehidupan yang berpaksikan mardhatillah, semua faktor tidak membantu sama sekali jika tidak disandarkan kepada Yang Maha Satu.

1)      Kerohanian
Saya banyak mengingatkan diri saya bahawa ‘Semua daripadaNya’. Apabila  rasa lemah, saya berdoa memohon kepada Allah agar pinjamkan kekuatan, apabila rasa sedih, saya memohon kepada Allah agar pinjamkan kebahagiaan. Bila diamalkan, kita akan faham betapa doa merupakan senjata paling ampuh seorang mu’min.
Kejayaan kecil hari ini juga merupakan pinjaman daripadaNya. Dia mampu menariknya kembali dalam sekelip mata. Maka, tegarkah kita untuk lupa padaNya?
2)      Keluarga
Saya menghubungi keluarga menerusi Skype hampir setiap hari untuk bertanya khabar dan memohon doa, terutamanya daripada ibu bapa. Seorang sahabat saya pernah berkongsi

“Aku rasa aku tidak berusaha terlalu banyak untuk berjaya, tetapi apa yang buat aku terus ‘hidup’ di sini, aku yakin, doa seorang ibu. ”

3)      Keberkatan ilmu
Saya masih belajar untuk menghayati adab-adab seorang pelajar dengan guru/pensyarah, kerana keberkatan ilmu boleh datangnya dari situ, tanpa kita sedari. Masuk ke kelas sebelum pensyarah, berusaha sehabis baik untuk fokus dalam kelas, mengucapkan terima kasih dan banyak adab lain yang seharusnya kita titikberatkan.

H) Faktor lain kejayaan saudari:

Keazaman yang kuat, matlamat yang jelas dan disiplin yang tinggi. Saya percaya ini merupakan tiga elemen yang melengkapkan resepi kejayaan seseorang. Saya sendiri belum mencapai tahap 100% dan insyaAllah sedang berusaha ke arah itu.







I) Kongsikan kaedah belajar saudari:

Saya sendiri masih bereksperimen dengan pelbagai cara belajar untuk diri saya dan saya yakin semua orang mempunyai ‘senjata rahsia’ masing-masing dalam belajar. Saya cuma akan kongsikan apa yang telah saya lakukan sepanjang tahun 4:

1)      Sasaran yang jelas dan realistik.
Sasaran yang terlalu tinggi akan membuatkan kita cepat ‘pancit’ dan putus asa, manakala sasaran yang terlalu rendah akan membuatkan kita bersikap ambil mudah. Bagi saya, saya memastikan matlamat yang ingin dicapai akan mencabar kemampuan saya. Buat sasaran peribadi setiap hari, walaupun hanya perkara kecil, contohnya mendalami konsep untuk dua topik dalam masa sehari.
2)      Tekanan dan penghargaan perlu seimbang.
Bagaimana tekanan membentuk berlian, begitu juga tekanan akan membentuk diri, apabila ia diterjemahkan secara positif. Saya memberi tekanan kepada diri saya, dan apabila saya berjaya melaksanakan satu tugasan atau mencapai suatu sasaran, saya memberi penghargaan yang setimpal dan selayaknya dengan usaha. Sekiranya saya gagal, ‘hukuman’ yang setimpal juga akan dikenakan.



J) Nyatakan cabaran dan dugaan sebagai pelajar mengulang:

Saya berdepan dengan cabaran dalam dua fasa:

      1)      Sebagai pelajar yang sedang mengulang.
Semasa mengulang tahun dua, tekanan emosi adalah cabaran terbesar yang saya hadapi. Perasaan malu untuk berdepan dengan rakan-rakan, rasa gagal dalam memenuhi harapan keluarga, malah kadang-kadang terfikir, adakah pilihan jurusan perubatan merupakan pilihan yang salah sejak awal.
Dalam aspek pengajian, saya dan rata-rata sahabat mengakui, pada saat baru menerima keputusan, kami perlukan masa untuk memulihkan semangat, sebelum bangkit memperbetulkan segala kesilapan yang kami lakukan sebelum ini.

      2)      Sebagai pelajar yang pernah mengulang.
Usahkan peningkatan, untuk mengekalkan prestasi itu sendiri merupakan perkara yang sangat sukar, bukan sahaja dalam kalangan pelajar yang mengulang, malah seluruh pelajar.
‘Tragedi’ mengulang benar-benar mengajar saya tentang erti kemanisan kejayaan bersama. Malah, bagi saya, melihat semua orang berjaya adalah kejayaan sebenar. Untuk membawa seluruh sahabat berjaya adalah satu cabaran yang besar, tetapi tidak mustahil untuk terlaksana jika semua membawa matlamat dan keazaman yang sama.



K) Kata-kata semangat untuk pelajar lain amnya dan pelajar mengulang khususnya:

1) Kenal pasti potensi diri. Jangan takut untuk mula dari bawah.
2) Percaya pada diri, yakin dengan Allah.
3) Banyak bersyukur, banyak beristighfar.
Mengulang bukan hukuman, mengulang adalah peluang, padanya seribu hikmah.






L) Ucapan penghargaan kepada sesiapa yang membantu saudari:

Alhamdulillah , Allah mendidik saya dengan mengurniakan insan-insan terbaik di sekeliling saya, bermula dengan ibu bapa dan ahli keluarga yang sentiasa mendoakan dan menyokong dari jauh, sahabat-sahabat serumah yang menyaksikan jatuh bangun saya dan setia memberi nasihat, sahabat-sahabat SC, sahabat-sahabat sekelas, seluruh sahabat GEN11US dan GENEXIIS yang memberi semangat dan inspirasi kepada saya, walaupun tanpa anda sedari, dan insan-insan yang mendidik saya secara langsung atau tidak. Moga redha Allah memayungi kalian. Barakallah fikum.
Segala perbuatan, kata-kata dan penulisan saya bakal menjadi saksi buat saya kelak. Maka saya  mohon doa dari semua agar saya sentiasa memperbaiki diri dan istiqamah dalam jalan kebaikan yang Allah tunjukkan. Wallahua’lam.



ALAN ST

30 SEPTEMBER 2016/29 ZULHIJJAH 1437 H 

3 May 2016

Shallu Ala Nabiyy


Sayup kedengaran suara anjing bersalakan.

Angin yang bertiup seolah mencengkam tulang rusuk sehingga menyesakkan dadaku untuk bernafas.
Matahari yang malu-malu memunculkan diri meskipun waktu sudah menginjak dinihari seolah-olah memberikan satu petanda agar hari ini seluruh manusia bersyukur dengan pemberian nikmat Tuhannya. Nikmat diberi teduhan daripada panas mentari membahang.

Kaki ini melangkah pulang menyusuri laluan pejalan kaki di tepi landasan metro. Setiap 5 minit pasti bunyi bingit keretapi berjalan memenuhi rongga telinga. Namun, mungkin kerana habituasi kepada kebingitan ini, maka dibiarkan sahaja bunyi itu menyinggah di ruang pendengaran tanpa memberi apa-apa makna.
Dan saat ini hanya suatu suara yang kedengaran di sudut benak fikiran ini. Ya, suara ketika mesyuarat yang tadi baru sahaja selesai tidak henti-henti bermain di seluruh ruang pendengaranku seolah-olah kejadian tadi masih berputar di hadapan mata ini.

*****

"Alhamdulillah, selesai musyawwarah kita hari ini. Oh ya, sebelum tu, saya terlupa ingin bertanya ahli mesyuarat semua, adakah maklum hari ini merupakan hari apa?" Ada suara perlahan menyebut; "17 Disember, Hari Selasa...." Dan majoriti bersuara; "12 Rabiul Awal…." Aku sekadar mengangguk mengiyakan mereka.
"Alhamdulillah, semua masih prihatin dengan tarikh besar ini.”



“Atau semua maklum kerana hari ini ialah cuti umum?"
Sepi.

"Insha Allah moga-moga kita tidak tergolong dalam kalangan mereka yang alpa dalam mengingati kekasih besar kita, Nabi Muhammad SAW. Dan alangkah indahnya andai kita dapat tergolong bersama golongan-golongan yang sentiasa mencedok mutiara-mutiara hikmah daripada kisah kehidupan Kekasih yang kita cinta ini."

Tersentak di fikiranku. Adakah aku juga turut tergolong dalam mereka yang alpa ini?
Allah.

"Kenapa pentingnya kita sentiasa mengingati sirah kehidupan Rasulullah?"
Angin bertiup perlahan mengisi ruang udara.

"Supaya kita sentiasa sematkan dalam fikiran kita, bagaimana cahaya Islam yang ada pada hari ini dapat sampai kepada kita andai tiada pengorbanan yang dilakukan oleh Rasulullah dan para sahabat.”
“Hebatnya perjuangan Rasulullah SAW, baginda tak pernah lelah dalam menyampaikan Islam. Dan andai kita telusuri sirah Rasulullah SAW, di bahagian mana yang menunjukkan kesenangan sepanjang kehidupan Rasulullah? Tiada, kerana semuanya penuh mehnah. Penuh ujian. Kerana apa? Kerana Allah berfirman dalam ayatNya,

“ Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: "Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu". (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta "



Suara yang tadi berbisik halus, mula menyepi, khusyuk mendengar tazkirah spontan ini.

"Walaupun Rasulullah SAW adalah orang yang paling disanjungi sebelum dilantik menjadi rasul, baginda SAW tetap dihina, dicaci, dimaki di saat baginda menegakkan Islam dalam masyarakat sekeliling. Dan apa yang Rasulullah buat? Adakah Rasulullah meninggalkan perjuangan menegakkan Islam dan mendapat sanjungan daripada orang ramai? Wallahi La’. Bahkan Rasululllah lah orang yang pertama sekali mempertahankan Islam dan menegakkan apa itu erti tauhid kepada Allah. "

“Pasti ada yang bertanya, kenapa baginda menolak semua kekayaan, pangkat, sanjungan yang telah musyrikin tawarkan sehingga sanggup dihina, dicaci dan dipulaukan? "
Bunyi langsir ditiup angin dingin dari luar markas menerjah telinga-telinga yang mendengar.

"Sebab Rasulullah tak nak Islam hanya terhenti di situ (di zaman Rasulullah), tapi berterusan hingga dunia tiada lagi penghujungnya. Rasulullah ingin seluruh umatnya faham bahawa Islam itu din, asas dalam kehidupan. Bukan hanya sekadar retorik sahaja, tapi supaya umat ini rasa izzahnya Islam sebagai pegangan hidup."

"Dan apa saja sumbangan kita? Setelah kita sendiri dianugerahkan dengan nikmat Islam ini, apa yang kita buat?” “Adakah dengan duduk menggoyang kaki?"



"Jika kita sedar yang kita semua adalah mata rantai kepada perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat, kita sendiri akan mengimplentasi apa yang Rasulullah dah laksanakan dulu. Supaya apa? Supaya Islam tertegak di muka bumi ini."

"Malu sekiranya kehidupan kita yang dah menjangkau 2 dekad ni, kita hanya mampu menerima Islam yang disampaikan alim ulama’ tanpa ada sedikit pun usaha daripada kita untuk turut sama menyebarkan apa itu erti keIslaman yang sebenarnya. Walhal kita sendiri diberi anugerah oleh Allah untuk menjadi salah satu penduduk Mesir, tempat di mana Bumi para Anbiya’ berada. Ke atas diri kita sahaja mahu atau tidak mengutip permata-permata hikmah di sebalik debu-debu yang berterbangan di sini."

Terus terdengar esakan kecil di sebalik dinding markas yang berkonkrit putih diselaputi debu-debu halus dari udara luar.
"Dan yang paling penting, posisi kita sekarang sebagai salah satu penggerak PERUBATAN, kita niatkan bukan hanya sekadar ingin memberi kebajikan kepada komuniti sains kesihatan Malaysia di Mesir, tapi apa yang lebih penting adalah kita inginkan seluruh ahli komuniti kecil kita ini memahami erti Islam yang sebenarnya. Di sinilah berlakunya penterjemahan siapa kita yang sebenarnya. Kita semua adalah dai’e dan kita semua adalah mad’u.”

“Kita inginkan komuniti kecil kita ini menjadi satu komuniti yang beriman kepada Allah dan RasulNya dan secara tak langsung suasana Islam dalam kalangan komuniti kita dapat dibentuk sebaiknya. Jadi, terpundak ke atas bahu kita masing-masing untuk sentiasa berusaha, berlumba-lumba mencari dan mengamalkan ilmu Islam agar kefahaman kita kepada Islam tidak dicemari dengan perkara-perkara lain yang mendekatkan kita kepada azab Allah."

"Apa yang kita nak capai tak lain tak bukan adalah agar ahli-ahli kita semuanya mendapat asas dalam kefahaman Islam supaya nanti kita semua mampu bergerak meneruskan mata rantai perjuangan Rasulullah."

"Jadi, andai ada antara kita yang merasakan saat ini aku masih belum punya peranan dalam menyebarkan Islam, perbaharui balik niat kita dalam kita bergerak di sini. Sama-sama kita niatkan agar setiap langkah yang aku ambil, tidak lain hanya untuk kepentingan Islam, agar insan-insan di sekeliling aku semuanya dapat mengamalkan Islam yang Rasulullah perjuangkan ni."

"Dan bolehlah sekiranya semua yang ada di sini, pulang dari mesyuarat, kita sama-sama tanamkan semangat baru dan niatkan semuanya kerana Allah. Ayuh kita perbanyakkan selawat, tingkatkan amalan kebaikan masing-masing. Jangan lupa untuk menyelak kembali catatan sirah Rasulullah SAW dan rasakan pada diri pentingnya untuk kita merasa izzah berada dalam golongan yang ingin menyebarkan Islam. Wallahu’alam."



*****

Bunyi kereta berhenti secara mengejut yang berbunyi hanya beberapa inci dari tapak aku berdiri tatkala ini, mengejutkan lamunanku. Seorang pak cik hampir 50-an keluar daripada kereta menegurku,

"Awak tak apa-apa? Jangan berjalan di tengah laluan kereta. Bahaya!!"

Oh, rupanya aku sedang berdiri hampir di tengah laluan kereta. Mujur lagi tiada kereta lain di situ.
Allah, kereta tadi hampir melanggar aku?
Allah, kau panjangkan lagi umurku.
Allah, Allah, Allah.
Tak terungkap rasa syukur buat Mu Ya Allah.
"Maafkan aku wahai pak cik, Terima kasih atas teguranmu buat aku"
Senyuman aku sedeqahkan buat pakcik tadi tanda penghargaan aku buatnya kerana mengelak aku dari dilanggar. Namun jauh di lubuk benakku, aku tahu ini semua perancangan Allah untuk menyedarkan aku, betapa selama ini aku alpa, leka sepanjang hayat yang Allah berikan untuk aku bernyawa dalam kehidupanku ini.
Hanya berapa kalikah ucapan syukur yang telah aku ungkapkan selama ini?
Allah.
Dan hanya berapa kalikah aku bersyukur dengan nikmat yang paling besar aku sebagai seorang Islam?
Allah, aku hambamu yang hina, lalai dalam mengingatiMu.
Allah, Allah.

Mata tiba-tiba terasa gatal ingin merembeskan cecair dari kelopak mata.
Apa mungkin lacrimal gland aku menunggu masa untuk mengeluarkan cecair ini?
Aku harus segera pulang ke kamarku.
Ah, di mana pula kunci rumah di saat aku perlukannya? Pintu terkuak dengan sendiri, ada figura yang tersenyum lembut kepadaku menyambut aku pulang.

Ah, tak mampu lagi air mata ini tertahan, terus terhambur deraian air mata sambil aku menariknya erat ke dalam pelukan. Erat dia memelukku dan lembut saja dia berbicara, "sollu’alan nabiy".

"Kawan, pimpin aku ke syurga!"