Tarikh hari ini

Final Exam is NEAR

Adakah anda sudah bersedia?

Showing posts with label Bedah Buku. Show all posts
Showing posts with label Bedah Buku. Show all posts

9 Jul 2014

Al-Ghazali : Satu Penelitian


Rasulullah bersabda dalam sebuah hadis, 
إن الله يبعث لهذه الأمة على رأس كل مائة سنة من يجدد لها دينها
“Sesungguhnya Allah mengutuskan untuk umat ini (umat Islam) pada setiap seratus tahun, seorang insan yang akan memperbaharui urusan agama mereka.”
Apa yang dimaksudkan ‘memperbaharui agama’ di sini ialah insan yang akan mengembalikan semula ajaran agamanya lantaran terdapat banyak salah faham dan kekeliruan yang timbul pada setiap generasi selepas kematian Baginda Nabi Muhammad s.a.w.

Jika kita amati dan beramal dengan hadis ini, maka kita akan menyedari akan peri pentingnya pemahaman ajaran Islam yang kita anuti selama ini. ‘Islam warisan’ yang membuatkan kita malas untuk mendalami ilmu agama ini secara tidak sedar (unconsciousness) membuatkan kita semakin hari semakin jauh daripada Islam.
Maka, kita akan cuba sedaya upaya untuk mengenali siapakah tokoh pentajdid Islam ini yang cuba untuk menginfakkan diri, masa, harta dan tenaga mereka untuk melihat tertegaknya kembali ajaran Islam yang sebenar dalam kepincangan masyarakat dan membangunkan semula pemikiran Islam itu sendiri.

Kemudian timbul persoalan pula, adakah kita perlu menjadi salah seorang daripadanya? Atau kita langsung menangguk di air yang keruh, lantas tidak menghiraukan apa yang terjadi kepada masyarakat dan umat Islam di seantero dunia dan tidak langsung terlintas di hati kita untuk mengesat air mata ummah disebabkan kita sudah dilahirkan dengan seribu macam nikmat dan kemewahan yang melimpah ruah?


Imam Al-Ghazāli, nama yang tidak asing daripada telinga kita bukan sekadar seorang tokoh yang kita hanya mampu memetik kalimahnya sahaja. Beliau merupakan salah seorang tokoh pentajdid agama selepas beberapa tokoh yang lain seperti Imam As-Syāfie dan juga Khālifah ‘Umar ‘Abd Al-Azīz.

Maulānā Abu Hasan Ali an-Nadwi, seorang tokoh dari India telah mengarang sebuah kitab yang berjudul ماذا خسر العالم بانحطاط المسلمين؟ (Apakah kerugian yang alam hadapi dengan kejatuhan Islam?). Kitab ini memberikan pengaruh yang kuat kepada ilmuan-ilmuan dunia hari ini seperti Syeikh Wahbah az-Zuhaili dan juga Dr Rāghib as-Sirjāni dalam membangunkan ummah serta menghargai khazanah-khazanah Islam yang cukup kaya dengan nilai-nilai keilmuan dan ketamadunan.

Karya luar biasa

Berbalik kepada perbincangan tokoh asal, Imam al-Ghazāli yang dilahirkan di Tus pada 450H dan meninggal pada usia yang cukup muda iaitu pada 505H ketika beliau berusia 55 tahun mampu mengubah dunia pada hari ini lantaran karya-karyanya yang luar biasa. Jika kita baca naskhah Bidāyah al-Hidāyah, kita akan mendapati suatu perkara yang kita tidak dapat daripada karya-karya lain.

Misalannya beliau menyebut dalam pendahuluan kitab tersebut,

“Maka ketahuilah wahai orang yang bersungguh-sungguh ingin mengambil faedah daripada ilmu, yang sangat jitu semangatnya, yang terlampau dahagakan ilmu, sesungguhnya jika kamu menuntut ilmu untuk berlumba-lumba dan berasa terkehadapan daripada rakan-rakan kamu yang lain, dan ingin mencari perhatian orang lain ke atas kamu, dan ingin mengumpulkan kemewahan dunia, maka kamu sedang berusaha untuk menghancurkan agama kamu, dan membinasakan diri kamu, dan menjual akhiratmu dengan duniamu, maka perniagaan kamu merugikan kamu.”

Berapa ramai dalam kalangan kita pada hari ini berasa risau sekiranya tidak memperoleh karier suatu masa kelak, gusar gaji tidak selumayan mana, ingin namanya disebut-sebut hebat, berasa ta’jub dengan diri sendiri kerana lebih tahu dan banyak pengalaman daripada insan lain seterusnya merendah-rendahkan mereka serta mempunyai penyakit-penyakit hati yang lain?

Lebih merisaukan lagi, kebanyakan generasi pada hari ini terperangkap dalam sistem pendidikan yang ada sehinggakan gagal memahami makna pendidikan yang sebenar. Epistemologi ilmu yang cukup luas itu dikecilkan skopnya hanya pada silibus-silibus peperiksaan dan ujian.

Magnum opus Imam al-Ghazāli, Ihya’ Ulūm ad-Dīn dibaca pada setiap tahun di negara Yaman. Dalam kitab ini, ketokohan beliau jelas dalam mengharmonikan antara fiqh (amal ibadah) dan tasawwuf (penyucian hati). Dr Yusuf Al-Qaradhawi menyebut bahawa beliau cuba mentasawwufkan fiqh dan memfiqhkan tasawwuf. Beliau melihat ibadah harian bukan sekadar perintah Tuhan semata-mata, malahan beliau melihat apa hikmah yang terkandung di sebalik itu. Hal ini sama seperti hadis yang disebut oleh Imam an-Nawawi dalam kita Al-Azkār,

“Maha suci Allah yang menjadikan air ini bersih, dan katakanlah ketika berkumur-kumur (mengambil wudhu’) : Ya Allah berilah minum padaku daripada tasik Nabi Kamu, gelas yang tidak akan membuatkan aku berasa haus lagi selepas ini, dan sebutkanlah ketika kamu bernafas : Ya Allah, janganlah Kau haramkanku daripada bau yang harum, dan katakanlah ketika kamu membasuh muka : Ya Allah, putihkanlah wajahku pada hari yang Engkau putih dan gelapkan wajah (berdasarkan ayat 106 surah Āli-Imrān), dan katakanlah ketika kamu membasuh kedua-dua belah tanganmu : Ya Allah, Kau berikanlah kitab catatan amalanku pada tangan kananku dan janganlah Kau beri pada tangan kiriku, dan katakanlah ketika kamu membersihkan kepala : Ya Allah, haramkanlah rambutku dan seluruh badanku daripada api neraka dan payungilah diriku di bawah ‘ArasyMu pada hari tiada tempat perlindungan melainkan perlindunganMu, dan katakanlah ketika kamu membasuh kedua-dua telinga : Ya Allah, jadikanlah aku dalam kalangan orang yang mendengar perkataan dan mengikut apa yang baik daripadanya, dan katakanlah ketika kamu membersihkan kedua-dua kakimu : Ya Allah, teguhkanlah kakiku di atas titian SirātMu.”

Hari ini, sudah ramai ilmuan-ilmuan Islam yang cuba mendamaikan kedua-dua aspek penting agama ini (fiqh dan tasawwuf), lantaran peri pentingnya jalinan ini supaya amal ibadah harian kita tidak dilihat sebagai rutin dan ritual semata-mata. Satu kerugian yang maha besar sekiranya kita gagal menyingkap hikmah di sebalik titah perintah Allah.

Analogi yang diungkapkan Imam al-Ghazāli dalam kitab جواهر القرأن (Mutiara-mutiara al-Quran) bahawa umat Islam yang sibuk membaca al-Quran dengan memfokuskan dalam menguasai tajwīd ((مخرج, khatam berulang-ulang kali, teknik-teknik bacaan ((القرأة, bahasa dan tatabahasa ((الإعراب, mengalami kerugian yang besar dalam memperolehi hasil daripada al-Quran kerana golongan ini hanya memperoleh cangkerang kerang sahaja berbanding isi kerang itu sendiri.

Isi kerang itu hanya mampu diperoleh sekiranya kita memahami makna teks-teks al-Quran itu sendiri dan menghadamnya bahawa di dalam bait-bait kalam Allah itu terkandung kisah-kisah sejarah, syariat Allah dan hujah Allah terhadap orang kafir (ilmu kalām/tauhid/metafizik) seterusnya al-Quran yang kita baca setiap hari itu mampu membawa kita mengenal Allah dan hari Akhirat serta mengetahui jalan-jalan untuk menujunya.




Pernah sekali, Imam al-Ghazāli diminta oleh seorang anak muridnya yang begitu rapat dengan beliau supaya menuliskan satu kitab yang terkandung pesanan dan wasiatnya kepada anak murid tersebut. Maka, beliaupun menuliskan pesanan-pesanan tersebut dalam sebuah naskhah yang berjudul أيها الولد. Di dalamnya terkandung nasihat-nasihat yang padat dan amat bermakna bagi seorang penuntut ilmu dan istimewanya naskhah ini, beliau seolah-olah cuba berkata-kata dan memberi cebisan nasihat terus kepada kita.

Misalannya beliau menyebut,
“ Wahai anakku, berapa banyak daripada malammu yang kamu hidupkan untuk mengulang-ulang ilmu dan membaca buku dan mengharamkan diri kamu daripada tidur? Tidaklah pula aku tahu sekiranya bangunnya kamu pada malam itu untuk mencari ganjaran dan kelebihan dunia serta bermegah-megah daripada rakan-rakanmu. Maka, celakalah kamu, kemudian celakalah kamu. Dan sekiranya niat kamu untuk menghidupkan kembali syariat Nabi dan berakhlak dengan akhlak Baginda serta menghancurkan nafsu ammārah yang membawa kepada kejahatan, maka beruntunglah kamu.”

Perjalanan ilmu

Perkara inilah yang ingin dibawakan oleh beliau dalam mengembalikan semula salah faham umat Islam pada generasi tersebut dan terbukti ianya relevan pada masa kini apabila karya-karyanya dibaca pada setiap tahun. Jika kita soroti pengalaman hidup beliau sendiri, pada mulanya beliau mendalami ilmu-ilmu asas agama, kemudian serangan falsafah yang hebat pada zaman tersebut dengan munculnya Socrates, Plato dan Aristotle membuatkan beliau ingin mengkaji mengenai falsafah. Dua tahun masa yang diambil untuk mengkaji karya-karya Aristotle sehinggakan beliau menjadi guru besar yang hebat di bawah pemerintahan Nizhom Al-Muluk di Baghdad pada ketika itu. Diceritakan bahawa ulama’-ulama’ yang hebat pada ketika itu juga turut menuntut ilmu dengannya lantaran kehebatan ilmu beliau dalam aqidah, fiqh, falsafah dan juga mantik. Uniknya beliau, setiap bidang yang beliau kaji dan ceburi, beliau akan menjadi guru besar (master) dalam bidang tersebut.

Maka, pada waktu awal usia beliau inilah beliau mula mengarang kitab-kitab falsafah seperti Maqāsid al-Falāsifah (Tujuan-tujuan Falsafah) dan Tahāfut al-Falasifāh (Hujah Menolak Falsafah) diikuti kitab-kitab tauhid dan mantik yang lain seperti al-Maqsad al-Asna fi Syarhi Ma’ani Asma Allah al-Husna, Mi’yār al-Ilm, al-Iqtisād fi al-I’tiqād, Iljam al-‘Awwām ala Ilm al-Kalam dan puluhan kitab yang lain.

Musafir ilmu beliau tidak diwarnai indah begitu sahaja. Beberapa peristiwa yang menjadi titik tolak perubahan pada dirinya menjadi satu turning point kepada beliau untuk menjadi seorang yang hebat. Dengan kematian bapanya pada usia muda, seterusnya peristiwa suatu hari yang mana kitab-kitab beliau beserta nota kaki yang ditulis oleh beliau (التعليقات) dirompak yang mana membuatkan beliau pada ketika itu terus menghafal kembali segala nota kaki tersebut sehinggalah sampai pada suatu hari ketika beliau mengajar di dalam kelas, beliau gagal mengungkapkan kata-katanya. Lidah beliau menjadi kelu.

Sejurus selepas itu, timbul konflik dalam dirinya. Pada usia 30 tahun itu, beliau mula mencari makna dalam menuntut ilmu sehinggalah beliau menemui jalan tasawwuf (penyucian hati) sebagai jalan yang terbaik untuk menemui jalan menuju Allah. Hal ini kerana, ilmu tasawwuf menggabungkan antara ilmu dan amal dan beliau pernah menyebut,
طلبت العلم لغير الله فأبى أن يكون لله 
“Pada mulanya aku menuntut ilmu bukan kerana Allah, tetapi akhirnya aku dipalingkan untuk menuntut ilmu kerana Allah.”

Bermula daripada peristiwa itu, beliau mula beruzlah dan menuju ke masjid Umawi di Damsyik, Syria. Beliau meninggalkan segala macam perkara yang beliau lakukan sebelum itu dan mula fokus dalam menyucikan hati. Beliau rela menjadi pembersih masjid (janitor) dalam menundukkan nafsu dan riya’ dalam hatinya.

Pada suatu hari, ketika seorang guru dalam masjid itu sedang mengajar dan terdapat satu permasalahan agama yang tidak dapat diselesaikan, maka usai kelas tersebut, beliau menyatakan jawapan kepada permasalah tersebut kepada orang yang bertanya. Sebaik sahaja mendengar namanya dipuji, lantas beliau meninggalkan pemuda tersebut kerana khuatir timbulnya riya’ dalam jantung hatinya.

Selepas daripada itu iaitu ketika usianya 38 tahun, beliau mula menulis karya-karya tasawwuf seperti Bidāyah al-Hidāyah, Kimya’ as-Sa’ādah dan karya terakhir beliau iaitu Minhāj al-‘Abidīn. Kitab al-Munqiz Min ad-Dholāl juga muncul pada ketika ini yang merupakan karya penting dalam menceritkan selok belok kehidupan beliau sehinggalah menemui jalan tasawwuf.

Sepuluh tahun selepas itu, beliau kembali semula ke tanah airnya dan mula menulis Ihya’ Ulūm ad-Dīn dan mengajar tasawwuf kepada masyarakat setempat. Beliau juga mula mendalami ilmu usul fiqh dengan guru besar usul pada ketika itu iaitu Imam al-Juwaini. Kehebatan ilmu usul beliau menandingi gurunya sehinggakan gurunya menyebut bahawa Imam al-Ghazāli telah menanamnya sebelum beliau meninggal dunia (lantaran kehebatan ilmu usul al-Ghazāli menandingi gurunya, al-Juwaini.

Beliau sempat menulis sebuah kitab usul fiqh pada ketika itu sehingga terhasilnya kitab al-Mustasfa yang menjadi rujukan sehingga ke hari ini. Syeikh Hamza Yusuf, tokoh ilmuan di Amerika Syarikat pernah sekali bertanyakan kepada guru rapat beliau iaitu Syeikh Ben Bayyah, (tokoh ilmuan daripada Mauritania, bekas Naib Presiden Kesatuan Ulama Sedunia di bawah pimpinan Dr Yusuf Al-Qardhawi), sekiranya Syeikh Ben Bayyah dicampakkan ke sebuah pulau, kitab apakah yang ingin berada di tangan beliau selain al-Quran? Dan beliau menjawab kitab usul fiqh al-Ghazāli, al-Mustasfa.

Jika kita soroti kembara ilmu beliau :
1. Tūs, Iran (tanah kelahiran)
2. Jurjan, Iran (mendalami fiqh)
3. Naysabūr (usul fiqh, mantik, falsafah)
4. Al-Ma’askar, Baghdad (mengajar)
5. Hebron, Baitul Maqdis
6. Mekah, Madinah
7. Damsyīq, Syria (tasawwuf)
8. Tūs, Iran (hadis)


Kritikan dan hujah balas

Sebagai insan biasa, beliau juga tidak terlepas daripada beberapa kelemahan melakukan kesilapan. Selepas kewafatan beliau, karya-karya beliau dibaca, dikaji dan didapati terdapat beberapa kelemahan. Ianya dikritik oleh Abu Bakar at-Turtūsyi, Syeikh Ibn Solāh, Ibn al-Jauzi dan Ibn Taymiyyah lantaran kelemahan beliau dalam bidang hadis, melihat tasawwuf daripada kaca mata falsafah, mantik dan gagal mengaitkan fiqh yang sebenar dalam tasawwuf.

Hadis-hadis yang dimasukkan dalam Ihya’ Ulūm ad-Dīn mendapat kritikan ramai kerana di dalamnya terkandung hadis dhoīf dan juga maudhu’. Sebahagian ulama’ menjawab semula perkara ini bahawa pada akhir hayat beliau, beliau mula untuk mempelajari hadis daripada Sahīh Bukhāri dengan al-Hāfiz ‘Umar ar-Ru’āsi

Antara kritikan yang lain pula adalah kritikan ketika perang Salib berlaku pada ketika itu yang mana beliau tidak menyertainya. Perkara ini dijawab semula oleh Syeikh Sa’id Ramadhan al-Būti rahimahullah bahawa bukan beliau sahaja yang tidak menyertai perang tersebut, malahan ramai lagi tokoh ilmuan lain pada ketika itu memilih untuk tidak menyertai perang tersebut dan memfokuskan kepada ilmu seperti Imam al-Juwaini, al-‘Izz Abd as-Salām, Abu Bakar at-Turtūsyi dan Abu Bakar al-Arabi. Jika beliau dikritik dalam hal ini, mengapa imam-imam yang lain tidak mendapat pengadilan yang sama?

Dr al-Qaradhawi pula dalam al-Imām al-Ghazāli baina Mādihīh wa Nāqidīh menyebut bahawa al-Ghazāli melihat bahawa solusi perang tersebut bukanlah pada menyertainya, malahan dengan jalan ilmu tasawwuf. Kebobrokan dalam memahami ilmu inilah yang menimbulkan peperangan tersebut. Maka, masyarakat harus diperbaiki bermula daripada dalam ke luar (in to out). Kerosakan yang di dalam menzahirkan kerosakan di luar sehingga mewujudkan peperangan.

Kesimpulan

Khazanah Islam yang kita miliki cukup kaya dengan ketamadunan dan nilai keilmuan tetapi sayang seribu kali sayang, umat Islam pada hari ini begitu leka menikmati kelazatan dan kemewahan dunia yang ‘sedikit’ dan malas untuk bangkit semula menegakkan syariat Allah. Kita begitu alpa dalam menyelongkar khazanah-khazanah ini sehingga kita tidak menyedari betapa signifikannya kita mengembalikan ketamadunan ini. Lebih teruk lagi, kita hanya mampu melopong sahaja melihat kemajuan Barat, kemudian kita terus melakukan kelalaian dalam rutin harian kita yang langsung tidak memberi manfaat kepada diri, bangsa dan agama sedangkan kita baca kalam Allah,

قد أفلح المؤمنون
“Maka telah berjaya orang-orang mukmin.”

الذين هم في صلاتهم خاشعون
“Iaitu orang yang khusyu’ dalam bersolat.”

والذين هم عن اللغو معرضون
“Dan juga berpaling daripada melakukan perkara-perkara sia-sia (lagho).”
Tidakkan sampai masanya untuk hati kita khusyu’ kembali mengingati Allah?
Semoga Allah mengampuni dosa-dosa dan kesilapanku serta umat Islam seluruhnya.

Nukilan : Muta’allim, Kaherah,
12:15pm, 050714.

*Artikel ini tidak lebih daripada kesimpulan ringkas penulis terhadap Imam al-Ghazali.

Rujukan :

Buku
-Al-Quran
-Bidāyah al-Hidāyah, al-Ghazāli
-Ayyuha al-Walad, al-Ghazāli
-Mutiara al-Quran Imam al-Ghazāli, Muhammad Abul Quasem
-Al-Imām al-Ghazali Baina Mādihīh wa Nāqidīh, Dr al-Qaradhāwi
-Al-Azkār, Imam an-Nawawi

PDF/ Majalah
-Pujian dan Kritikan Terhadap Imam al-Ghazāli, ‘Abdul Salam Hj Yussof
-Iktibar daripada kesohoran al-Ghazāli, Ulama’ Penggerak Penguasaan Ilmu, Zakaria Stapa

Artikel
-Akhirnya kutemui al-Ghazzāli, Hasrizal ‘Abdul Jamil
-Al-Ghazzāli Sasaran Liberalisasi Agama, Hasrizal ‘Abdul Jamil
-Hukum Mengkritik Tulisan al-Imam al-Ghazāli?, Dr Mohd ‘Asri Zainul Abidin

Youtube
-Imam al-Ghazāli’s Life And A Response To His Critics, Syeikh Sa’id Ramadhan al-Būti
-The Critical Importance of al-Ghazāli In Our Times, Syeikh Hamza Yusuf
-The Alchemy of Happiness,Syeikh  Hamza Yusuf
- Imam Abu Hamid al- Ghazāli, Syeikh ‘Ali Jumuah

Audio
-Keperluan Tajdid Pemikiran Agama, Dr Mohd ‘Asri Zainul Abidin


20 Apr 2014

The Story of Imam Abu hanifah



BERMULA SEBUAH KISAH….


            Khusyuk Aiman membaca majalah al-Ustaz yang baharu sahaja dibelinya. Sesekali tangannya menyelak rambutnya yang terjatuh dihembus angin petang yang berhembus tenang. Kehidupan seharian Aiman sebagai seorang doktor tidak menghalang Aiman untuk mengambil sedikit masa yang terluang untuk menambah tsaqafah melalui pembacaan bahan-bahan ilmiah .

            “Abang, jemput minum.” lembut suara Nurul Iman menyapa suaminya yang tekun dengan pembacaannya. Aiman tidak menoleh. Tidak sedar barang kali. Timbul idea nakal NUrul Iman untuk bergurau dengan suaminya. Senyap-senyap Nurul Iman pergi ke belakang suaminya yang sedang duduk diatas kerusi kayu jati.

          “Cuba teka siapa ni?” soal Nurul Iman sambil tangannya menutup mata Aiman.

          “Erm .. rasa macam kenal. Siapa agaknya pemilik suara merdu ni ye?” balas Aiman sambil tangannya cuba meleraikan tangan Nurul Iman yang menutup matanya.

            Aiman menoleh ke belakang . Satu senyuman manis dihadiahkan untuk isterinya lalu disambut oleh Nurul Iman . Dengan lembut Aiman menarik jemari Nurul Iman untuk mempelawanya duduk disebelah Aiman.

            “Abang baca apa tadi? Iman datang pun abang tak perasan.” Nurul Iman bertanya dalam nada merajuk .

            “Maafkan abang Iman , abang ralit baca majalah al-ustaz tadi.” sambil mengunjukkan majalah tersebut kepada Nurul Iman. Nurul Iman masih seperti tadi. Pura –pura merajuk.

             “Erm … nak tak abang ceritakan apa yang abang baca tadi?” tanya Aiman sambil jarinya menguis hidung isterinya. Nurul Iman tersenyum suka lantas mengangguk.
            “Dalam buku tadi ada satu kolum berkenaan Jejak Fuqaha. Dalam isu kali ini , penulis menceritakan tentang Imam Abu Hanifah . Iman pernah dengar kan nama Imam Abu Hanifah ni? “ tanya Aiman kepada isterinya.
            “ Yang mengasaskan mazhab Hanafi kan abang” balas Nurul Iman dengan yakin.

            Aiman yang sedang menyisip air teh strawberi mengangguk perlahan. “Tepat sekali, pandai Iman. Abang hendak mencerikan bagaimana keunikan majlis ilmu Imam Abu Hanifah. Abu Hanifah melazimi majlis ilmu Hammad lebih daripada 10 tahun. Selepas Hammad wafat, Abu Hanifah menggantikan beliau mengajar di majlis tersebut.

            Majlis ilmu yang dijalankan oleh Abu Hanifah sangat unik kerana majlis tersebut bukan berbentuk ceramah tetapi diskusi ilmiah antara guru dengan anak-anak muridnya. Setiap orang berhak mengemukakan hujah dan pendapat. kerap juga berlaku perdebatan sehingga ada yang meninggikan suara. Namun di akhir majlis,selalunya mereka akan tunduk kepada hujah Abu Hanifah. Abdullah  bin al-Mubarak pernah berkata:”aku tidak pernah berasa rendah diri sepertimana aku rasakan semasa berada dalam majlis Abu Hanifah.”

            Pendekatan beliau ini terbukti Berjaya melahirkan ulama-ulama fiqah yang kritis dan pandai berhujah. Selama berates-ratus tahun pengikut mazhab hanafi terkenal dengan aliran fiqah rasionalis(ahli ra’y).” panjang lebar Aiman bercerita.

            Aiman membetulkan kedudukannya agar lebih menghadap Nurul Iman. Sememangnya wajah lembut nan ayu Nurul Iman membuat hatinya tenteram dan menjadi ‘qurratu a’yun’ ketika dirinya dalam gelisah. Aiman melihat dahi Nurul Iman sedikit berkerut seperti memikirkan sesuatu.

            “Abang, Iman rasalah kan , Imam Abu Hanifah mesti sangat petah berhujah. Beliaukan banyak ilmu, mesti kata-katanya juga bersifat hikmah dan ilmiah kan?” soal Nurul Iman ingin mendapatkan kepastian.

            “Eh, macam tahu-tahu saje apa yang abang nak ceritakan.” Ucap Aiman sedikit terkejut. Nurul iman tersengih bangga atas telahannya tadi.

            “Kejaguhan Imam Abu Hanifah dalam fiqah diiktiraf semua ulama. Bahkan beliau diakui sebagai orang pertama yang mengasaskan kaedah istinbat iaitu pengeluaran hokum daripadaal-Quran dan sunnah. Imam as-Syafi’I berkata:”semua yang berbicara tentang fiqah itu ‘berhutang’ dengan Abu Hanifah.”

            Yahya bin Said al-Qattan, seorang tokoh ahli hadis di Basrah turut mengulas :”kami tidak pernah mendengar pendapat yang lebih baik berbanding pendapat Abu Hanifah. Kami banyak menhgambil pendapatnya.” “ terang AIman . Sesekali Nurul Iman mengangguk faham.

            “Bahkan Imam Malik bin Anas di Madinah mengakui kecerdasan dan kepetahan Abu Hanifah dalam berhujah. Imam Malik pernah ditanya adakah beliau pernah bertemu dengan Abu Hanifah?. Lalu tidak dinafikan bahawa Imam Malik pernah bertemu Abu hanifah dan mengatakan bahawa seandainya Abu Hanifah mendakwa tiang kayu ini dibuat daripada emas, necaya dia dapat membuktikannya dengan hujah-hujahnya. “ sambung Aiman penuh semangat .
            “Masha Allah ! Sampai begitu sekali kepetahan Imam Abu Hanifah” balas Nurul Iman kagum.
            “ Ada satu cerita yang menarik untuk abang kongsikan. Iman dah pernah deangar belum cerita Imam Bau Hanifah dengan pemerintah kerajaan Bani Abbasiyah ketika zamannya? “ soal Aiman.

            “belum pernah. Takpe abang cerita je. Iman akan jadi pendengar yang setia.” Balas Nurul Iman tersenyum manis sambil melentokkan kepalanya di bahu Aiman.

Aiman mengusap lembut rambut NurulIman lantas menyambung, “Kufah pada masa Abu Hanifah merupakan pusat operasi ramai pemberontak Syiah. Oleh sebab itu, kerajaan Bani Abbasiyah di Baghdad menyimpan curiga terhadap para ulama yang berasal dari negeri ini termasuklah beliau sendiri.

Khalifah al-Mansur berniat menguji kesetiaan Abu Hanifah dengan menawarkankan kepadanya jawatan kadi Negara. Namun,Abu Hanifah menolak jawatan tersebut kerana tidak ingin bersubahat dengan kezaliman Bani Abbasiyah. Beliau berkata:”Aku tidak layak untuk jawatan itu.” Al-Mansur berkata:”Engkau berdusta. Sebenarnya engkau layak untuk jawatan ini.” “Jika aku berdusta, mengapa engkau ingin memberikan jawatan itu kepa seorang pendusta?” balas Abu Hanifah mematahkan hujah al –Mansur .

“Tetapi kan Iman isteri abang, setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Sehebat mana pun seseorang itu, pasti ajal akan menjemput. Begitu juga Imam Abu Hanifah  . imam Abu Hanifah wafat pada tahun 150 H. diriwayatkan bahawa punca kematiannya ialah kerana racun yang diletakkan dalam minumannya. Jutaan manusia mengiringi jenazahnya ke kubur. Pada tahun yang sama, lahir Imam al-Syafi’I di Gazaa yang kelak mengembangkan ilmu fiqah yang telah dirintis oleh Abu Hanifah. Wallahua’lam. Allahumma faqqihna fiddin . “ Aiman mengakhiri ceritanya degan memanjatkan doa agar dikurniakan kefaqihan dalam agama.

“ Emm, sedih jugak kan kehilangan alim ulama ni kan. Semoga anak kita ni nanti akan menjadi seorang yang alim macam ilmuwan Islam dahulu.” Ucap Nurul Iman penuh pengharapan. Aiman tersenyum lalu mengangguk kecil. Mereka pun beriringan masuk ke rumah kerana hari sudah lewat petang.


P/S : dipetik dan diolah daripada buku al-Ustaz ,isu no-10 . Point utama berkenaan Imam Abu Hanifah, cerita yang lain rekaan semata. 

Recommend book by Abdul Latip Talib :)


5 Apr 2014

MH370, pergimu membawa hikmah.

MH370


Manusia memandang peristiwa hanya sebagai satu fenemona yang biasa dalam, yakni orang akan mati dan orang akan dilahirkan. Tapi aku sendiri memandang ini sebagai satu fenemona yang perlu diambil ibrah

13 Mar 2014

"Dalam Dekapan Ukhuwah" by Salim A.Fillah


Dalam Dekapan Ukhwah



Dalam dekapan ukhuwah, kita mengambil cinta dari langit.
Lalu menebarkannya di bumi. Sunguh disyurga, menara-
Menara cahaya menjulang untuk hati yang saling mencinta.
Mari membangunkannya dari sini, dalam dekapan Ukhuwah

1 Mar 2014

Projek Bedah Buku

Renungkan kembali ayat pertama yang diturunkan oleh Allah s.w.t. 

Surah Al-Alaq : 1-5

“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan”(1)“Menciptakan manusia dari segumpal darah”(2)Bacalah, dan tuhanmu itu adalah maha mulia”(3)Dia yang mengajarkan dengan kalam”(4)Mengajari manusia apa-apa yang dia tidak tahu”(5)

Maka dengan itu, bacalah.