Tarikh hari ini

Final Exam is NEAR

Adakah anda sudah bersedia?

30 Sep 2016

Amalina Rahim: Mengulang Bukan Penghalang

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum.

          Bagi sesi kali ini, saya bawakan kepada anda, saudari Amalina Rahim, pelajar yang mendapat pangkat Jayyid jiddan dalam peperiksaan akhir tahun 4 perubatan Universiti Kaherah. Sesi temuduga ini dijalankan adalah untuk menyatakan bahawa pelajar mengulang juga boleh menempa kejayaan. Selamat membaca.

AMALINA RAHIM

Nama: Nur Amalina Binti Abdul Rahim
Nama ibu: Mashitah Binti Asri
Nama bapa: Abdul Rahim Bin Ahmad
Nama panggilan: Amalina
Bilangan adik beradik: 3 daripada 5
Tinggal di: Selangor
Moto hidup: Sabar dan yakin

A) Keputusan peperiksaan akhir (sehingga kini):
·         Tahun 1: Jayyid
·         Tahun 2: Maqbul
·         Tahun 3: Jayyid Jiddan
·         Tahun 4: Jayyid Jiddan


B) Mula mengulang pada tahun bila:
Saya mula mengulang pada tahun 2


C) Alasan mengulang tahun tersebut:

Antara punca kegagalan yang dapat saya kongsikan buat peringatan semua:

      1)     Terlalu selesa dengan pencapaian semasa.
Keputusan peperiksaan tahun 1 yang agak baik membuatkan saya rasa cukup dengan cara belajar yang sama, sedangkan untuk tahun 2, cabarannya berganda. Mentaliti ‘asalkan lulus’ akhirnya memakan diri.

       2)      Tiada matlamat yang jelas.
Visi dan misi dalam hidup yang memandu cara hidup dan tindakan kita. Kesilapan saya sejak hari pertama sebagai pelajar, saya tidak meletakkan sebarang matlamat jangka pendek atau jangka panjang, yang membawa kepada usaha yang tidak berfokus.

      3)      Tiada disiplin cara belajar.
Saya gagal mengenal pasti cara belajar yang sesuai dengan saya. Lebih memburukkan lagi keadaan adalah sikap tidak berdisiplin dalam waktu belajar dan tidak mahu mencabar kemampuan diri.



D) Perasaan saudari mendapat “ top 4 ” dalam kalangan pelajar Malaysia :

Segala puji dan syukur ke hadrat Ilahi atas kurniaan nikmatNya yang tidak pernah putus, antaranya diberi peningkatan dalam pencapaian akademik tahun ini. Saya tidak pernah menyasarkan apa-apa kedudukan dalam ranking, maka tidak dinafikan, saya agak terkejut apabila disebut tentang top 4. Walau bagaimanapun, saya tidak mahu terbuai dengan pencapaian semasa memandangkan saya belum mencapai matlamat peribadi saya. Tambahan pula, pencapaian akademik kita (pelajar Malaysia) masih jauh ketinggalan di belakang rakan-rakan pelajar tempatan.
Apa yang lebih menggembirakan saya sebenarnya, adalah melihat sahabat lain turut sama berjaya dan melangkah ke tahun 5, terutamanya sahabat-sahabat yang pernah menempuh perjalanan yang sama; Nadhirah, Iqmal, Rafiudin dan Izzat.


E) ”Tahun 4 tahun honeymoon”, perspektif saudari mengenai kenyataan ini:

Jadual tahun 4 yang tidak padat berbanding tahun-tahun sebelumnya, memang memberi banyak masa terluang kepada pelajar. Namun, saya langsung tidak melihatnya sebagai peluang untuk berehat atau honeymoon. Faktor utama yang membuat saya tidak terus leka adalah nasihat-nasihat dari sahabat-sahabat GEN11US yang saya ambil sebagai cabaran, antaranya: “Tahun 4 adalah peluang terbaik untuk kumpul mumtaz” dan “ Untuk tahun 4, sekurang-kurangnya wajib mumtaz ComMed”.
Hakikatnya, semakin kita meniti hari, semakin besar cabaran yang mendatang, terutamanya dalam dunia perubatan. Langkah harus dipacu ke hadapan, bukan mundur mahupun statik. Ruang masa lapang yang diberi harus diisi sebaiknya untuk memperbaiki diri dalam pelbagai aspek termasuk akademik dan sahsiah.


F) Apakah FAKTOR UTAMA kejayaan saudari? Adakah disebabkan  saudari seorang                                                    pelajar mengulang? :
Mungkin ya. Saya pernah berada dalam situasi yang paling menakutkan sebagai seorang pelajar tajaan; satu paper yang merupakan peluang terakhir untuk menentukan masa depan, dan saya kira perkara ini merupakan antara motivasi kepada saya agar tidak mengulangi kesilapan yang sama.


G) Adakah faktor spiritual membantu saudari? Nyatakan sokongan dan peranan ibu bapa serta rakan:

Sangat membantu. No doubt! Dalam kehidupan yang berpaksikan mardhatillah, semua faktor tidak membantu sama sekali jika tidak disandarkan kepada Yang Maha Satu.

1)      Kerohanian
Saya banyak mengingatkan diri saya bahawa ‘Semua daripadaNya’. Apabila  rasa lemah, saya berdoa memohon kepada Allah agar pinjamkan kekuatan, apabila rasa sedih, saya memohon kepada Allah agar pinjamkan kebahagiaan. Bila diamalkan, kita akan faham betapa doa merupakan senjata paling ampuh seorang mu’min.
Kejayaan kecil hari ini juga merupakan pinjaman daripadaNya. Dia mampu menariknya kembali dalam sekelip mata. Maka, tegarkah kita untuk lupa padaNya?
2)      Keluarga
Saya menghubungi keluarga menerusi Skype hampir setiap hari untuk bertanya khabar dan memohon doa, terutamanya daripada ibu bapa. Seorang sahabat saya pernah berkongsi

“Aku rasa aku tidak berusaha terlalu banyak untuk berjaya, tetapi apa yang buat aku terus ‘hidup’ di sini, aku yakin, doa seorang ibu. ”

3)      Keberkatan ilmu
Saya masih belajar untuk menghayati adab-adab seorang pelajar dengan guru/pensyarah, kerana keberkatan ilmu boleh datangnya dari situ, tanpa kita sedari. Masuk ke kelas sebelum pensyarah, berusaha sehabis baik untuk fokus dalam kelas, mengucapkan terima kasih dan banyak adab lain yang seharusnya kita titikberatkan.

H) Faktor lain kejayaan saudari:

Keazaman yang kuat, matlamat yang jelas dan disiplin yang tinggi. Saya percaya ini merupakan tiga elemen yang melengkapkan resepi kejayaan seseorang. Saya sendiri belum mencapai tahap 100% dan insyaAllah sedang berusaha ke arah itu.







I) Kongsikan kaedah belajar saudari:

Saya sendiri masih bereksperimen dengan pelbagai cara belajar untuk diri saya dan saya yakin semua orang mempunyai ‘senjata rahsia’ masing-masing dalam belajar. Saya cuma akan kongsikan apa yang telah saya lakukan sepanjang tahun 4:

1)      Sasaran yang jelas dan realistik.
Sasaran yang terlalu tinggi akan membuatkan kita cepat ‘pancit’ dan putus asa, manakala sasaran yang terlalu rendah akan membuatkan kita bersikap ambil mudah. Bagi saya, saya memastikan matlamat yang ingin dicapai akan mencabar kemampuan saya. Buat sasaran peribadi setiap hari, walaupun hanya perkara kecil, contohnya mendalami konsep untuk dua topik dalam masa sehari.
2)      Tekanan dan penghargaan perlu seimbang.
Bagaimana tekanan membentuk berlian, begitu juga tekanan akan membentuk diri, apabila ia diterjemahkan secara positif. Saya memberi tekanan kepada diri saya, dan apabila saya berjaya melaksanakan satu tugasan atau mencapai suatu sasaran, saya memberi penghargaan yang setimpal dan selayaknya dengan usaha. Sekiranya saya gagal, ‘hukuman’ yang setimpal juga akan dikenakan.



J) Nyatakan cabaran dan dugaan sebagai pelajar mengulang:

Saya berdepan dengan cabaran dalam dua fasa:

      1)      Sebagai pelajar yang sedang mengulang.
Semasa mengulang tahun dua, tekanan emosi adalah cabaran terbesar yang saya hadapi. Perasaan malu untuk berdepan dengan rakan-rakan, rasa gagal dalam memenuhi harapan keluarga, malah kadang-kadang terfikir, adakah pilihan jurusan perubatan merupakan pilihan yang salah sejak awal.
Dalam aspek pengajian, saya dan rata-rata sahabat mengakui, pada saat baru menerima keputusan, kami perlukan masa untuk memulihkan semangat, sebelum bangkit memperbetulkan segala kesilapan yang kami lakukan sebelum ini.

      2)      Sebagai pelajar yang pernah mengulang.
Usahkan peningkatan, untuk mengekalkan prestasi itu sendiri merupakan perkara yang sangat sukar, bukan sahaja dalam kalangan pelajar yang mengulang, malah seluruh pelajar.
‘Tragedi’ mengulang benar-benar mengajar saya tentang erti kemanisan kejayaan bersama. Malah, bagi saya, melihat semua orang berjaya adalah kejayaan sebenar. Untuk membawa seluruh sahabat berjaya adalah satu cabaran yang besar, tetapi tidak mustahil untuk terlaksana jika semua membawa matlamat dan keazaman yang sama.



K) Kata-kata semangat untuk pelajar lain amnya dan pelajar mengulang khususnya:

1) Kenal pasti potensi diri. Jangan takut untuk mula dari bawah.
2) Percaya pada diri, yakin dengan Allah.
3) Banyak bersyukur, banyak beristighfar.
Mengulang bukan hukuman, mengulang adalah peluang, padanya seribu hikmah.






L) Ucapan penghargaan kepada sesiapa yang membantu saudari:

Alhamdulillah , Allah mendidik saya dengan mengurniakan insan-insan terbaik di sekeliling saya, bermula dengan ibu bapa dan ahli keluarga yang sentiasa mendoakan dan menyokong dari jauh, sahabat-sahabat serumah yang menyaksikan jatuh bangun saya dan setia memberi nasihat, sahabat-sahabat SC, sahabat-sahabat sekelas, seluruh sahabat GEN11US dan GENEXIIS yang memberi semangat dan inspirasi kepada saya, walaupun tanpa anda sedari, dan insan-insan yang mendidik saya secara langsung atau tidak. Moga redha Allah memayungi kalian. Barakallah fikum.
Segala perbuatan, kata-kata dan penulisan saya bakal menjadi saksi buat saya kelak. Maka saya  mohon doa dari semua agar saya sentiasa memperbaiki diri dan istiqamah dalam jalan kebaikan yang Allah tunjukkan. Wallahua’lam.



ALAN ST

30 SEPTEMBER 2016/29 ZULHIJJAH 1437 H