Tarikh hari ini

9 Jul 2014

Al-Ghazali : Satu Penelitian


Rasulullah bersabda dalam sebuah hadis, 
إن الله يبعث لهذه الأمة على رأس كل مائة سنة من يجدد لها دينها
“Sesungguhnya Allah mengutuskan untuk umat ini (umat Islam) pada setiap seratus tahun, seorang insan yang akan memperbaharui urusan agama mereka.”
Apa yang dimaksudkan ‘memperbaharui agama’ di sini ialah insan yang akan mengembalikan semula ajaran agamanya lantaran terdapat banyak salah faham dan kekeliruan yang timbul pada setiap generasi selepas kematian Baginda Nabi Muhammad s.a.w.

Jika kita amati dan beramal dengan hadis ini, maka kita akan menyedari akan peri pentingnya pemahaman ajaran Islam yang kita anuti selama ini. ‘Islam warisan’ yang membuatkan kita malas untuk mendalami ilmu agama ini secara tidak sedar (unconsciousness) membuatkan kita semakin hari semakin jauh daripada Islam.
Maka, kita akan cuba sedaya upaya untuk mengenali siapakah tokoh pentajdid Islam ini yang cuba untuk menginfakkan diri, masa, harta dan tenaga mereka untuk melihat tertegaknya kembali ajaran Islam yang sebenar dalam kepincangan masyarakat dan membangunkan semula pemikiran Islam itu sendiri.

Kemudian timbul persoalan pula, adakah kita perlu menjadi salah seorang daripadanya? Atau kita langsung menangguk di air yang keruh, lantas tidak menghiraukan apa yang terjadi kepada masyarakat dan umat Islam di seantero dunia dan tidak langsung terlintas di hati kita untuk mengesat air mata ummah disebabkan kita sudah dilahirkan dengan seribu macam nikmat dan kemewahan yang melimpah ruah?


Imam Al-Ghazāli, nama yang tidak asing daripada telinga kita bukan sekadar seorang tokoh yang kita hanya mampu memetik kalimahnya sahaja. Beliau merupakan salah seorang tokoh pentajdid agama selepas beberapa tokoh yang lain seperti Imam As-Syāfie dan juga Khālifah ‘Umar ‘Abd Al-Azīz.

Maulānā Abu Hasan Ali an-Nadwi, seorang tokoh dari India telah mengarang sebuah kitab yang berjudul ماذا خسر العالم بانحطاط المسلمين؟ (Apakah kerugian yang alam hadapi dengan kejatuhan Islam?). Kitab ini memberikan pengaruh yang kuat kepada ilmuan-ilmuan dunia hari ini seperti Syeikh Wahbah az-Zuhaili dan juga Dr Rāghib as-Sirjāni dalam membangunkan ummah serta menghargai khazanah-khazanah Islam yang cukup kaya dengan nilai-nilai keilmuan dan ketamadunan.

Karya luar biasa

Berbalik kepada perbincangan tokoh asal, Imam al-Ghazāli yang dilahirkan di Tus pada 450H dan meninggal pada usia yang cukup muda iaitu pada 505H ketika beliau berusia 55 tahun mampu mengubah dunia pada hari ini lantaran karya-karyanya yang luar biasa. Jika kita baca naskhah Bidāyah al-Hidāyah, kita akan mendapati suatu perkara yang kita tidak dapat daripada karya-karya lain.

Misalannya beliau menyebut dalam pendahuluan kitab tersebut,

“Maka ketahuilah wahai orang yang bersungguh-sungguh ingin mengambil faedah daripada ilmu, yang sangat jitu semangatnya, yang terlampau dahagakan ilmu, sesungguhnya jika kamu menuntut ilmu untuk berlumba-lumba dan berasa terkehadapan daripada rakan-rakan kamu yang lain, dan ingin mencari perhatian orang lain ke atas kamu, dan ingin mengumpulkan kemewahan dunia, maka kamu sedang berusaha untuk menghancurkan agama kamu, dan membinasakan diri kamu, dan menjual akhiratmu dengan duniamu, maka perniagaan kamu merugikan kamu.”

Berapa ramai dalam kalangan kita pada hari ini berasa risau sekiranya tidak memperoleh karier suatu masa kelak, gusar gaji tidak selumayan mana, ingin namanya disebut-sebut hebat, berasa ta’jub dengan diri sendiri kerana lebih tahu dan banyak pengalaman daripada insan lain seterusnya merendah-rendahkan mereka serta mempunyai penyakit-penyakit hati yang lain?

Lebih merisaukan lagi, kebanyakan generasi pada hari ini terperangkap dalam sistem pendidikan yang ada sehinggakan gagal memahami makna pendidikan yang sebenar. Epistemologi ilmu yang cukup luas itu dikecilkan skopnya hanya pada silibus-silibus peperiksaan dan ujian.

Magnum opus Imam al-Ghazāli, Ihya’ Ulūm ad-Dīn dibaca pada setiap tahun di negara Yaman. Dalam kitab ini, ketokohan beliau jelas dalam mengharmonikan antara fiqh (amal ibadah) dan tasawwuf (penyucian hati). Dr Yusuf Al-Qaradhawi menyebut bahawa beliau cuba mentasawwufkan fiqh dan memfiqhkan tasawwuf. Beliau melihat ibadah harian bukan sekadar perintah Tuhan semata-mata, malahan beliau melihat apa hikmah yang terkandung di sebalik itu. Hal ini sama seperti hadis yang disebut oleh Imam an-Nawawi dalam kita Al-Azkār,

“Maha suci Allah yang menjadikan air ini bersih, dan katakanlah ketika berkumur-kumur (mengambil wudhu’) : Ya Allah berilah minum padaku daripada tasik Nabi Kamu, gelas yang tidak akan membuatkan aku berasa haus lagi selepas ini, dan sebutkanlah ketika kamu bernafas : Ya Allah, janganlah Kau haramkanku daripada bau yang harum, dan katakanlah ketika kamu membasuh muka : Ya Allah, putihkanlah wajahku pada hari yang Engkau putih dan gelapkan wajah (berdasarkan ayat 106 surah Āli-Imrān), dan katakanlah ketika kamu membasuh kedua-dua belah tanganmu : Ya Allah, Kau berikanlah kitab catatan amalanku pada tangan kananku dan janganlah Kau beri pada tangan kiriku, dan katakanlah ketika kamu membersihkan kepala : Ya Allah, haramkanlah rambutku dan seluruh badanku daripada api neraka dan payungilah diriku di bawah ‘ArasyMu pada hari tiada tempat perlindungan melainkan perlindunganMu, dan katakanlah ketika kamu membasuh kedua-dua telinga : Ya Allah, jadikanlah aku dalam kalangan orang yang mendengar perkataan dan mengikut apa yang baik daripadanya, dan katakanlah ketika kamu membersihkan kedua-dua kakimu : Ya Allah, teguhkanlah kakiku di atas titian SirātMu.”

Hari ini, sudah ramai ilmuan-ilmuan Islam yang cuba mendamaikan kedua-dua aspek penting agama ini (fiqh dan tasawwuf), lantaran peri pentingnya jalinan ini supaya amal ibadah harian kita tidak dilihat sebagai rutin dan ritual semata-mata. Satu kerugian yang maha besar sekiranya kita gagal menyingkap hikmah di sebalik titah perintah Allah.

Analogi yang diungkapkan Imam al-Ghazāli dalam kitab جواهر القرأن (Mutiara-mutiara al-Quran) bahawa umat Islam yang sibuk membaca al-Quran dengan memfokuskan dalam menguasai tajwīd ((مخرج, khatam berulang-ulang kali, teknik-teknik bacaan ((القرأة, bahasa dan tatabahasa ((الإعراب, mengalami kerugian yang besar dalam memperolehi hasil daripada al-Quran kerana golongan ini hanya memperoleh cangkerang kerang sahaja berbanding isi kerang itu sendiri.

Isi kerang itu hanya mampu diperoleh sekiranya kita memahami makna teks-teks al-Quran itu sendiri dan menghadamnya bahawa di dalam bait-bait kalam Allah itu terkandung kisah-kisah sejarah, syariat Allah dan hujah Allah terhadap orang kafir (ilmu kalām/tauhid/metafizik) seterusnya al-Quran yang kita baca setiap hari itu mampu membawa kita mengenal Allah dan hari Akhirat serta mengetahui jalan-jalan untuk menujunya.




Pernah sekali, Imam al-Ghazāli diminta oleh seorang anak muridnya yang begitu rapat dengan beliau supaya menuliskan satu kitab yang terkandung pesanan dan wasiatnya kepada anak murid tersebut. Maka, beliaupun menuliskan pesanan-pesanan tersebut dalam sebuah naskhah yang berjudul أيها الولد. Di dalamnya terkandung nasihat-nasihat yang padat dan amat bermakna bagi seorang penuntut ilmu dan istimewanya naskhah ini, beliau seolah-olah cuba berkata-kata dan memberi cebisan nasihat terus kepada kita.

Misalannya beliau menyebut,
“ Wahai anakku, berapa banyak daripada malammu yang kamu hidupkan untuk mengulang-ulang ilmu dan membaca buku dan mengharamkan diri kamu daripada tidur? Tidaklah pula aku tahu sekiranya bangunnya kamu pada malam itu untuk mencari ganjaran dan kelebihan dunia serta bermegah-megah daripada rakan-rakanmu. Maka, celakalah kamu, kemudian celakalah kamu. Dan sekiranya niat kamu untuk menghidupkan kembali syariat Nabi dan berakhlak dengan akhlak Baginda serta menghancurkan nafsu ammārah yang membawa kepada kejahatan, maka beruntunglah kamu.”

Perjalanan ilmu

Perkara inilah yang ingin dibawakan oleh beliau dalam mengembalikan semula salah faham umat Islam pada generasi tersebut dan terbukti ianya relevan pada masa kini apabila karya-karyanya dibaca pada setiap tahun. Jika kita soroti pengalaman hidup beliau sendiri, pada mulanya beliau mendalami ilmu-ilmu asas agama, kemudian serangan falsafah yang hebat pada zaman tersebut dengan munculnya Socrates, Plato dan Aristotle membuatkan beliau ingin mengkaji mengenai falsafah. Dua tahun masa yang diambil untuk mengkaji karya-karya Aristotle sehinggakan beliau menjadi guru besar yang hebat di bawah pemerintahan Nizhom Al-Muluk di Baghdad pada ketika itu. Diceritakan bahawa ulama’-ulama’ yang hebat pada ketika itu juga turut menuntut ilmu dengannya lantaran kehebatan ilmu beliau dalam aqidah, fiqh, falsafah dan juga mantik. Uniknya beliau, setiap bidang yang beliau kaji dan ceburi, beliau akan menjadi guru besar (master) dalam bidang tersebut.

Maka, pada waktu awal usia beliau inilah beliau mula mengarang kitab-kitab falsafah seperti Maqāsid al-Falāsifah (Tujuan-tujuan Falsafah) dan Tahāfut al-Falasifāh (Hujah Menolak Falsafah) diikuti kitab-kitab tauhid dan mantik yang lain seperti al-Maqsad al-Asna fi Syarhi Ma’ani Asma Allah al-Husna, Mi’yār al-Ilm, al-Iqtisād fi al-I’tiqād, Iljam al-‘Awwām ala Ilm al-Kalam dan puluhan kitab yang lain.

Musafir ilmu beliau tidak diwarnai indah begitu sahaja. Beberapa peristiwa yang menjadi titik tolak perubahan pada dirinya menjadi satu turning point kepada beliau untuk menjadi seorang yang hebat. Dengan kematian bapanya pada usia muda, seterusnya peristiwa suatu hari yang mana kitab-kitab beliau beserta nota kaki yang ditulis oleh beliau (التعليقات) dirompak yang mana membuatkan beliau pada ketika itu terus menghafal kembali segala nota kaki tersebut sehinggalah sampai pada suatu hari ketika beliau mengajar di dalam kelas, beliau gagal mengungkapkan kata-katanya. Lidah beliau menjadi kelu.

Sejurus selepas itu, timbul konflik dalam dirinya. Pada usia 30 tahun itu, beliau mula mencari makna dalam menuntut ilmu sehinggalah beliau menemui jalan tasawwuf (penyucian hati) sebagai jalan yang terbaik untuk menemui jalan menuju Allah. Hal ini kerana, ilmu tasawwuf menggabungkan antara ilmu dan amal dan beliau pernah menyebut,
طلبت العلم لغير الله فأبى أن يكون لله 
“Pada mulanya aku menuntut ilmu bukan kerana Allah, tetapi akhirnya aku dipalingkan untuk menuntut ilmu kerana Allah.”

Bermula daripada peristiwa itu, beliau mula beruzlah dan menuju ke masjid Umawi di Damsyik, Syria. Beliau meninggalkan segala macam perkara yang beliau lakukan sebelum itu dan mula fokus dalam menyucikan hati. Beliau rela menjadi pembersih masjid (janitor) dalam menundukkan nafsu dan riya’ dalam hatinya.

Pada suatu hari, ketika seorang guru dalam masjid itu sedang mengajar dan terdapat satu permasalahan agama yang tidak dapat diselesaikan, maka usai kelas tersebut, beliau menyatakan jawapan kepada permasalah tersebut kepada orang yang bertanya. Sebaik sahaja mendengar namanya dipuji, lantas beliau meninggalkan pemuda tersebut kerana khuatir timbulnya riya’ dalam jantung hatinya.

Selepas daripada itu iaitu ketika usianya 38 tahun, beliau mula menulis karya-karya tasawwuf seperti Bidāyah al-Hidāyah, Kimya’ as-Sa’ādah dan karya terakhir beliau iaitu Minhāj al-‘Abidīn. Kitab al-Munqiz Min ad-Dholāl juga muncul pada ketika ini yang merupakan karya penting dalam menceritkan selok belok kehidupan beliau sehinggalah menemui jalan tasawwuf.

Sepuluh tahun selepas itu, beliau kembali semula ke tanah airnya dan mula menulis Ihya’ Ulūm ad-Dīn dan mengajar tasawwuf kepada masyarakat setempat. Beliau juga mula mendalami ilmu usul fiqh dengan guru besar usul pada ketika itu iaitu Imam al-Juwaini. Kehebatan ilmu usul beliau menandingi gurunya sehinggakan gurunya menyebut bahawa Imam al-Ghazāli telah menanamnya sebelum beliau meninggal dunia (lantaran kehebatan ilmu usul al-Ghazāli menandingi gurunya, al-Juwaini.

Beliau sempat menulis sebuah kitab usul fiqh pada ketika itu sehingga terhasilnya kitab al-Mustasfa yang menjadi rujukan sehingga ke hari ini. Syeikh Hamza Yusuf, tokoh ilmuan di Amerika Syarikat pernah sekali bertanyakan kepada guru rapat beliau iaitu Syeikh Ben Bayyah, (tokoh ilmuan daripada Mauritania, bekas Naib Presiden Kesatuan Ulama Sedunia di bawah pimpinan Dr Yusuf Al-Qardhawi), sekiranya Syeikh Ben Bayyah dicampakkan ke sebuah pulau, kitab apakah yang ingin berada di tangan beliau selain al-Quran? Dan beliau menjawab kitab usul fiqh al-Ghazāli, al-Mustasfa.

Jika kita soroti kembara ilmu beliau :
1. Tūs, Iran (tanah kelahiran)
2. Jurjan, Iran (mendalami fiqh)
3. Naysabūr (usul fiqh, mantik, falsafah)
4. Al-Ma’askar, Baghdad (mengajar)
5. Hebron, Baitul Maqdis
6. Mekah, Madinah
7. Damsyīq, Syria (tasawwuf)
8. Tūs, Iran (hadis)


Kritikan dan hujah balas

Sebagai insan biasa, beliau juga tidak terlepas daripada beberapa kelemahan melakukan kesilapan. Selepas kewafatan beliau, karya-karya beliau dibaca, dikaji dan didapati terdapat beberapa kelemahan. Ianya dikritik oleh Abu Bakar at-Turtūsyi, Syeikh Ibn Solāh, Ibn al-Jauzi dan Ibn Taymiyyah lantaran kelemahan beliau dalam bidang hadis, melihat tasawwuf daripada kaca mata falsafah, mantik dan gagal mengaitkan fiqh yang sebenar dalam tasawwuf.

Hadis-hadis yang dimasukkan dalam Ihya’ Ulūm ad-Dīn mendapat kritikan ramai kerana di dalamnya terkandung hadis dhoīf dan juga maudhu’. Sebahagian ulama’ menjawab semula perkara ini bahawa pada akhir hayat beliau, beliau mula untuk mempelajari hadis daripada Sahīh Bukhāri dengan al-Hāfiz ‘Umar ar-Ru’āsi

Antara kritikan yang lain pula adalah kritikan ketika perang Salib berlaku pada ketika itu yang mana beliau tidak menyertainya. Perkara ini dijawab semula oleh Syeikh Sa’id Ramadhan al-Būti rahimahullah bahawa bukan beliau sahaja yang tidak menyertai perang tersebut, malahan ramai lagi tokoh ilmuan lain pada ketika itu memilih untuk tidak menyertai perang tersebut dan memfokuskan kepada ilmu seperti Imam al-Juwaini, al-‘Izz Abd as-Salām, Abu Bakar at-Turtūsyi dan Abu Bakar al-Arabi. Jika beliau dikritik dalam hal ini, mengapa imam-imam yang lain tidak mendapat pengadilan yang sama?

Dr al-Qaradhawi pula dalam al-Imām al-Ghazāli baina Mādihīh wa Nāqidīh menyebut bahawa al-Ghazāli melihat bahawa solusi perang tersebut bukanlah pada menyertainya, malahan dengan jalan ilmu tasawwuf. Kebobrokan dalam memahami ilmu inilah yang menimbulkan peperangan tersebut. Maka, masyarakat harus diperbaiki bermula daripada dalam ke luar (in to out). Kerosakan yang di dalam menzahirkan kerosakan di luar sehingga mewujudkan peperangan.

Kesimpulan

Khazanah Islam yang kita miliki cukup kaya dengan ketamadunan dan nilai keilmuan tetapi sayang seribu kali sayang, umat Islam pada hari ini begitu leka menikmati kelazatan dan kemewahan dunia yang ‘sedikit’ dan malas untuk bangkit semula menegakkan syariat Allah. Kita begitu alpa dalam menyelongkar khazanah-khazanah ini sehingga kita tidak menyedari betapa signifikannya kita mengembalikan ketamadunan ini. Lebih teruk lagi, kita hanya mampu melopong sahaja melihat kemajuan Barat, kemudian kita terus melakukan kelalaian dalam rutin harian kita yang langsung tidak memberi manfaat kepada diri, bangsa dan agama sedangkan kita baca kalam Allah,

قد أفلح المؤمنون
“Maka telah berjaya orang-orang mukmin.”

الذين هم في صلاتهم خاشعون
“Iaitu orang yang khusyu’ dalam bersolat.”

والذين هم عن اللغو معرضون
“Dan juga berpaling daripada melakukan perkara-perkara sia-sia (lagho).”
Tidakkan sampai masanya untuk hati kita khusyu’ kembali mengingati Allah?
Semoga Allah mengampuni dosa-dosa dan kesilapanku serta umat Islam seluruhnya.

Nukilan : Muta’allim, Kaherah,
12:15pm, 050714.

*Artikel ini tidak lebih daripada kesimpulan ringkas penulis terhadap Imam al-Ghazali.

Rujukan :

Buku
-Al-Quran
-Bidāyah al-Hidāyah, al-Ghazāli
-Ayyuha al-Walad, al-Ghazāli
-Mutiara al-Quran Imam al-Ghazāli, Muhammad Abul Quasem
-Al-Imām al-Ghazali Baina Mādihīh wa Nāqidīh, Dr al-Qaradhāwi
-Al-Azkār, Imam an-Nawawi

PDF/ Majalah
-Pujian dan Kritikan Terhadap Imam al-Ghazāli, ‘Abdul Salam Hj Yussof
-Iktibar daripada kesohoran al-Ghazāli, Ulama’ Penggerak Penguasaan Ilmu, Zakaria Stapa

Artikel
-Akhirnya kutemui al-Ghazzāli, Hasrizal ‘Abdul Jamil
-Al-Ghazzāli Sasaran Liberalisasi Agama, Hasrizal ‘Abdul Jamil
-Hukum Mengkritik Tulisan al-Imam al-Ghazāli?, Dr Mohd ‘Asri Zainul Abidin

Youtube
-Imam al-Ghazāli’s Life And A Response To His Critics, Syeikh Sa’id Ramadhan al-Būti
-The Critical Importance of al-Ghazāli In Our Times, Syeikh Hamza Yusuf
-The Alchemy of Happiness,Syeikh  Hamza Yusuf
- Imam Abu Hamid al- Ghazāli, Syeikh ‘Ali Jumuah

Audio
-Keperluan Tajdid Pemikiran Agama, Dr Mohd ‘Asri Zainul Abidin