Tarikh hari ini

15 Dec 2013

Paksikan Kehidupan dengan Wahyu!



Susur kehidupan manusia menunjukkan bahawa pasti adanya perubahan yang berlaku dari satu zaman ke zaman yang lain. Perkara ini adalah perkara yang sering berlaku dalam rentetan apa jua sejarah yang dibentangkan sama ada perubahan itu membawa kebaikan mahupun keburukan dalam peradaban manusia. Dan yang pastinya, manusia itu sendiri adalah watak yang membuat perubahan tersebut.


Dari satu sisi yang lain pula,kehidupan manusia makin hari makin dihimpit rencam dan ragam yang menentukan kehidupan manusia sama ada bahagia atau sengsara. Pilihan yang ada hanyalah dua. Jika tidak memilih yang ini,maka natijahnya adalah sebaliknya. Sehingga kadang-kadang kita tidak sedar ,ada sesetengah manusia takut untuk meneruskan kehidupan dek kerana memikirkan masih adakah ruang dan peluang untuk mereka di dunia. Persaingan yang cukup hebat, perlumbaan mengejar harta dan perubahan sosio-budaya yang menekan itu sendiri menjadi kerisauan mereka.

Jadi persoalannya,adakah perubahan yang berlaku zaman ber zaman itu mampu mengubah kehidupan manusia?

REVOLUSI AGUNG MANUSIA

Suatu ketika, kehadiran Rasulullah dengan membawa 'risalah' telah mengubah sepenuhnya nilai- nilai budaya satu kelompok yang dahulunya penuh dengan amalan jahil. Perkara ini dihurai baik oleh Syed Qutb dalam tulisannya Dirasat Islamiyyah sebagai satu revolusi yang menyeluruh.
"Risalah Muhammad s.a.w. itu adalah revolusi pembebasan manusia secara total, revolusi yang mencakup segala segi kehidupan manusia, dan menghancurkan berhala-berhala, terlepas dari apapun juga namanya, yang terdapat dalam segi-segi kehidupan manusia itu."
Jika kita tinjau akan sirah yang diwajahkan oleh Rasulullah, perubahan yang berlaku bukanlah hanya pada pengamalan, budaya mahupun gerakan. Bahkan, apa yang direvolusikan oleh susuk tubuh manusia mulia ini ialah satu revolusi pembebasan yang mencakup perubahan- perubahan kemasyarakatan, perekonomian, ketenteraan, dan kesusasteraan. Bahkan yang paling besar ialah perubahan kerohanian yang mana sandarannya jelas dan keyakinannya cukup hanya kepada kuasa yang unggul Allah azza wajalla. Yang jelasnya, perubahan ini berlaku hanya dalam satu tempoh yang cukup terhad malah perkara sedemikian bukan berlaku secara kebetulan. Aturannya cukup sempurna.Bahkan perancangan dan pelaksanaanya disusun oleh Allah Azza wajalla sendiri dengan wahyu- Nya Al- Quran al- karim.

Maka, selepas 23 tahun...nah!!,,lahirlah generasi 'Al-Quran' yang pertama. Satu kelompok manusia yang 'hidup' lahir dari kumpulan manusia yang 'mati' dibalik padang pasir. Kelompok manusia yang mampu menggoncang hati- hati pahlawan- pahlawan empayar besar dunia. Kelompok yang membelakangkan dunia kerana yakin 'kehidupan' dihadapan adalah lebih mulia. Semuanya tidak mampu dicapai melainkan dengan memaksikan kehidupan mereka keseluruhannya dengan wahyu Allah Al-Quran al- karim.
"Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu wahyu (Al Qur'an) dengan perintah Kami. Sebelummnya kamu tidaklah mengetahui apakah Al Kitab (Al Qur'an) dan tidak pula mengetahui apakah iman itu, tetapi Kami menjadikan Al Qur'an itu cahaya, yang Kami tunjuki dengannya siapa yang kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami". (Surah Asy Syuura ayat 52)



WAHYU KOORDINASI HIDUP MANUSIA

Kata Imam Al-Auzaie, "Ikutilah jalan para salafussoleh sekalipun manusia menolaknya dan jauhilah pendapat manusia sekalipun ia kelihatan cantik dan mempesona" [jami bayan al ilm wa fadlihi]

Para salafussoleh beriya-riya meletakkan kehidupan mereka sesempurna mungkin mengikut ajaran yang disampaikan Rasulullah kepada para sahabat. Keyakinan dan cara hidup mereka meyakini bahawa dengan panduan wahyu dan Al-Quran yang akan menjernihkan kehidupan umat islam daripada kehidupan yang merosakkan. Mereka yakin bahawa ‘risalah’ tersebut yang akan memberikan sinaran dalam menghadapi ancaman yang menganggu gugat pendirian umat, yang meletakkan iktikad hanya untuk islam. Malah, dengan berpaksikan kepadanya (Al-Quran), mereka mampu menepis pandangan-pandangan filsafat barat yang cuba merosakkan wajah islam dengan rupa yang dangkal!!

Maka, sedarlah wahai sekalian umat yang mentauhidkan Allah sebagai Rabbul Izzati, membenarkan Muhammad Bin Abdullah adalah utusan rabbani, yakinlah dengan apa yang diajarkan Rasul sebaik-baik panduan. Dan, yakinlah bahawa Al-Quran adalah penyelesaian kehidupan.



N.B.S
Teratak Himmah